Kuantan tetap membangun

in Nasional by


KUANTAN – Kuantan berkeluasan 296,000 hektar daripada keseluruhan Pahang dan merupakan ibu  negeri serta pusat pentadbiran.


Jumlah penduduk di daerah ini dicatatkan seramai 490,000 orang termasuk penduduk bukan warganegara. Merupakan kawasan perbandaran dan membangun pesat dengan tumpuan 76 peratus penduduk di daerah.


Walaupun ditunjangi pembangkang, sejak 10 tahun lalu, banyak pembangunan dilaksanakan kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri menerusi pelbagai pembangunan  termasuk projek-projek mega yang bermanfaat kepada penduduk.


Secara keseluruhan, negeri ini diperintah kerajaan BN, yang pastinya nikmat pembangunan pesat di seluruh negeri itu akan diberi tumpuan.


Calon BN mahu jadi penghubung


Calon P083 Kuantan, Datuk Andrew Wong Kean Hwee mahu menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan bagi membolehkan penduduk menikmati manfaat daripada kerancakan pembangunan yang bakal dilaksana di Parlimen itu.


Beliau sedikit terkesan apabila penduduk di Kuantan ketinggalan berbanding Parlimen lain apabila 10 tahun berada dibawah pembangkang.


Andrew mahu rakyat bangkit dan berubah kerana lebih banyak lagi pembangunan akan dicapai jika BN menang di Kuantan.


“Jika kerusi ini kembali kepada BN, kami akan berusaha meningkatkan kemudahan asas dan meningkatkan aktiviti ekonomi di daerah ini.


“Sokongan padu semua rakan parti komponen perlu dan kami yakin dapat merampas kembali,” katanya.


Pembangunan tanggungjawab kerajaan Persekutuan


Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, walaupun kawasan itu dimenangi pembangkang, kerajaan Persekutuan yang memerintah boleh membangunkan seluruh negara.


Ini kerana setiap peruntukan yang diguna adalah duit rakyat, bukan milik parti memerintah.


“Isu pembangkang tidak membangunkan Kuantan salah. Ahli Parlimen dinafikan segala peruntukan, jangan hukum dan memperlekehkan amalan demokrasi.


“Saya lihat banyak projek pembangunan dilaksanakan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT sepanjang tempoh 10 tahun,” katanya.


Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Pusat Khidmat Keadilan berjaya menyelesaikan lebih 12,000 aduan warga Kuantan sepanjang dua penggal menjadi Ahli Parlimen.


“Isu pembangunan di Tanjung Lumpur misalnya, memperlihatkan aspek pembangunan tidak setara dengan infrastruktur yang dibina. Ia menyebabkan masalah banjir lebih teruk berlaku di Tanjung Lumpur.


“Ini yang ingin kami perjuangkan dalam menyediakan penduduk ke arah kehidupan lebih selesa dengan infrastruktur setanding pembangunan dibawa,” katanya yang dicabar calon BN Andrew dan Sulaiman Md Derus (Pas) .


Inderapura tumpuan pembangunan


Meskipun Dun Inderapura satu-satunya kerusi daripada empat di bawah Parlimen Kuantan yang berjaya dipertahankan BN pada PRU13, pembangunan tetap berjalan.


Walaupun sukar untuk pemimpin BN bergerak seiring di bawah Parlimen Kuantan, ia bukan alasan penyandang Dun Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Shariff tidak berkhidmat sekaligus menjaga kebajikan rakyat.


Beliau berkata, banyak usaha dilakukan bagi mendapatkan kemudahan kepada penduduk termasuk sebuah dewan berhawa dingin yang dinamakan Dewan PM Najib dapat direalisasikan.


Dewan tersebut mampu memudahkan penduduk melakukan pelbagai aktiviti.


“Saya  puas hati kerana kemudahan itu dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti penduduk.


“Terbaharu, sebuah masjid dalam proses pembangunan di Batu 3 Jalan Gambang. Sebaik sahaja siap, saya rancang mewujudkan kawasan perkuburan moden, tersusun yang pertama di Kuantan,” katanya.


Pembangunan sentiasa difikir bagi memastikan penduduk mendapat manfaat.


Sepanjang dua penggal, beliau membantu penduduk dengan memenuhi keperluan.


“Saya sedaya upaya bantu dengan sediakan kemudahan menerusi pembangunan mengikut keperluan mereka,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]