‘Lima tahun hilang jawatan menteri, saya tak maki kerajaan’

in Edisi Johor by


PENGERANG – Tindakan dua veteran Umno, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz menyokong pihak pembangkang sehingga digugurkan keanggotaan parti dilihat sebagai satu perkara yang amat menyedihkan.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau terkilan dengan tindakan dua bekas pemimpin itu.


Menurutnya, beliau sebelum ini juga pernah kehilangan jawatan menteri namun tidak pula berpaling tadah kepada pembangkang.


“Saya sedih dan terkilan dengan perkara ini. Saya sendiri pernah hilang jawatan selama lima tahun tak jadi menteri tapi tak ada pula saya pergi ceramah pembangkang maki hamun kerajaan.


“Semua orang pernah menjadi pemimpin. Namun kita juga harus beri orang lain ganti. Bagi saya ini adalah politik. Kalau nak aktif politik kenapa tak nak bertanding masuk parti pembangkang atau BN tawar diri bertanding sekali lagi?


“Kalau rasa hebat sangat tawar diri jadi ketua pergerakan. Jangan pula bila lihat seolah-olah pembangkang kononnya nampak kuat belum apa-apa dah lompat kapal,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Suka Ria dan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Teluk Empang.


Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keanggotaan dua veteran Umno itu digugurkan susulan tindakan mereka menyokong pembangkang.


Beliau berkata, Tan Sri Dr Rais Yatim pula masih disiasat berhubung isu sama sebelum tindakan seterusnya diambil.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]