Meninggal ketika acara larian

in Edisi Utara by


PERMATANG PAUH – Seorang peserta acara Larian Santai, Sihat, Cantik (SSC) Permatang Pauh meninggal dunia selepas rebah berhampiran garisan penamat dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Perda di sini pagi tadi.


Dalam kejadian jam 8.42 pagi,  peserta terbabit Baharuddin Jalil,56 dikatakan terkena serangan jantung sebelum pengsan dan tidak sedarkan diri.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) yang berada di lokasi kejadian segera membawa mangsa ke Hospital Bukit Mertajam namun dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Katanya, siasatan dijalankan mendapati tiada unsur jenayah dan kematian dipercayai disebabkan penyakit dialami mangsa.


“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.


Acara larian berkenaan dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Seberang Perai Tengah bermula di Politeknik Seberang Perai dan dirasmikan oleh Pengerusi Pembangunan Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]