Otai masih berbisa?

in Edisi Terengganu by


SETIU – Parlimen Setiu, P034 merangkumi 4 dun iaitu Jabi (N5), Permaisuri (N6), Langkap (N7) dan Batu Rakit (N8).


Calon-calon bagi PRU14 sudah pasti mendapat kepercayaan tinggi oleh parti masing-masing untuk memenangi kerusi P034 itu.


Tugas serta tanggungjawab besar bakal dipikul calon yang menang pada PRU14 nanti apabila hanya seorang daripada mereka akan mewakili suara rakyat ke sidang dewan Parlimen.


Bagaimanapun, gerak kerja calon BN, Datuk Mohd Jidin Shafee, Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas) dan Datuk Dr Mohd Faudzi Musa (PKR), dilihat sama-sama hebat.


Dek pertandingan tiga penjuru inilah, mereka sanggup bersengkang mata, berkorban masa, berkorban waktu rehat dan sebagainya dalam ‘edah berkempen’ ini.

Mohd Jidin (empat kiri) bersama jentera PDM Kampung Pelong.


Terdahulu, kita merapati calon BN iaitu Mohd Jidin, beliau adalah orang lama dalam parti.


Orang lama biasanya banyak jasa yang perlu dikenang rakyat ekoran sudah banyak pembaharuan yang dibuat di Setiu khususnya di Permaisuri, di mana beliau menjadi penyandang kepada kerusi N6 itu sebelum ini.


Suka atau tidak bagi penduduk ia tetap diteruskan dengan pembangunan yang sudah dirancang.


Benarlah kata orang manusia mana tidak melakukan kesilapan, tetapi manusia ini jugalah yang sanggup berkorban demi rakyat, demi melihat segalanya tersedia untuk mereka.


Perjuangan tetap diteruskan walau apa jua badai melanda, walau ada mata yang tidak ingin memandang, tetapi itu perkara biasa bagi seorang pemimpin.


Walaupun begitu, Ketua Umno Bahagian Setiu ini mengharapkan pada PRU14, Setiu masih mampu memenangkan BN sekali gus mengekalkan 5-0.


Mohd Jidin suatu ketika pernah menjadi penyandang kerusi P034 pada PRU12, dan beliau menang menentang Pas, ketika itu Mohd Pauzi Muda dengan majoriti 7,232.


Calon Pas agak tenang


Sementara itu, calon Pas, Shaharizukirnain atau dikenali sebagai Ustaz Zul, beliau juga orang lama dan pernah menjadi Adun Jabi pada 1999 hingga 2004.


Cuma PRU14 ini, beliau pertama kali bertanding bagi kerusi P034.


Biarpun pertama kali, beliau dilihat agak tenang mungkin kerana pernah berkempen sebelum ini dan pengalaman itu diguna sebaik mungkin.


Dilihat dari sudut berpolitik, ustaz Zul sudah lama berkhidmat dan kesetiaan yang diberi sejak 1994 dalam parti secara sepenuh masa, melihatkan kesungguhannya dalam berpolitik demi membawa perjuangan Islam.


Semangat itulah yang dikagumi pengikutnya dan juga orang di sekeliling yang menjadi pemerhati selama ini.


Dalam berkempen, bagi PRU14 ini juga beliau dilihat sangat aktif bersama calon-calon Pas lain di setiap tika masa.


Ustaz Zul yang berasal dari Kampung Kuala Kubang, Jabi, cukup dikenali pengikutnya dan juga masyarakat lain dari parti berbeza dek jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu.

Ustaz Zul (paling kanan) mendengar masalah rakyat di Kuala Merang.


Pelbagai isu atau masalah yang dilihatnya tidak kena atau tidak betul, beliau cuba sedaya mungkin menyelami masalah itu sehingga turun padang mendengar sendiri keluhan rakyat.


Itu kelebihan beliau sebagai calon P034, malah pengikutnya juga dilihat senang berurusan dengan Ustaz Zul dalam apa jua situasi.


Guna modal kempen isu ‘makan dalam’


Manakala calon PKR, Mohd Faudzi, seorang yang berwibawa dan berperwatakan agak ‘kemas’ dari segi fizikal dan ucaptamanya dalam setiap majlis yang dihadiri.


Biarpun berada dalam parti Bersatu dan membawa logo PKR untuk PRU14, beliau tidak gusar dan sentiasa bercakap mengenai isu nasional.


Melihat secara terperinci apa yang ‘dibawa’ atau bakal diketengahkan untuk rakyat di Parlimen Setiu, ia satu perjuangan yang menyentuh hati rakyat kerana isu yang dibawa sangat dekat dengan masyarakat.


Isu seperti ekonomi, pengangguran, kemudahan dan sebagainya dibawa ke hadapan dan mungkin itu ‘modal’ beliau menarik rakyat bersamanya.


Lain orang lain caranya, tetapi bagi calon PKR  ini, pendekatan yang dibawa menusuk hati rakyat.


Lebih tepat bermaksud ‘makan dalam’, itu cara tersendiri calon PKR ini. Pergerakannya dalam berkempen agak perlahan tetapi calon sebegini tidak boleh dipandang remeh.


Walaupun sebagai orang baru yang bersama barisan calon-calon PRU14 ‘otai’, beliau sebenarnya cukup berpengalaman dalam khidmat nasihat, pengurusan dan pembangunan ekonomi usahawan.


Pengalaman itu diguna sebaik mungkin dalam berkempen pada PRU14.


Bagaimanapun, BN yang menjadi legasi di Setiu pada PRU sebelum ini, masihkah mampu mengekalkannya pada PRU14.


Dengan pertembungan tiga penjuru, calon yang hebat belaka, adakah BN masih kekal 5-0 di Setiuku ohh Setiuku (lagu daerah).


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]