Pas larang konvoi motosikal

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pemuda Pas Terengganu mengeluarkan larangan mengadakan sebarang bentuk konvoi bermotosikal dalam tempoh kempen PRU14 kepada semua ahlinya berkuatkuasa serta merta.


Timbalan Ketuanya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tegahan itu bagi mengelak wujudnya provokasi di saat-saat akhir menjelangnya hari membuang undi hingga mencetuskan situasi genting yang boleh mengaitkan parti itu.


“Kesibukan dalam PRU14 tidak perlu ditambah dengan konvoi, kita bimbang wujud provokasi yang berada di luar kawalan penganjur.


“Justeru, semua konvoi tidak ada sebarang penganjuran sehingga selesai PRU14. Tegahan telah dikeluarkan dan jika ada(konvoi selepas ini)  ia bukan daripada Pas.


“Konvoi yang menggunakan lambang Pas sebelum tamatnya PRU14 dianggap sebagai provokasi pihak yang tidak berkaitan dengan Pas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.


Hishamuddin yang juga calon Pas di kawasan Dun Tepoh berkata, konvoi Pemuda Pas sebelum ini hanya di bawah anjuran Alternative Riding Club (ARC)  dan mereka mempunyai peraturan dan disiplin tersendiri dalam menyusun atur konvoi bermotosikal.


Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua Pemuda Pas Terengganu agar mematuhi larangan berkenaan sehingga tamatnya PRU14.


“Ingat, sebarang provokasi, sabotaj di saat-saat akhir ini akan kembali kepada pihak yang tidak bertanggungjawab, insyaAllah.


“Teruskan gerak kerja, santuni masyarakat, tambat hati mereka supaya bersama dengan Islam supaya Pas berjaya mentadbir Terengganu selepas pilihanraya nanti,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]