Perlukah 'multi tasking?'

in Bisnes by


SITUASI:


SEBUAH syarikat mengehadkan bilangan kakitangan atas beberapa faktor berkaitan ekonomi semasa. Bagi melancarkan operasi, syarikat telah mempersiapkan setiap seorang daripada stafnya agar mampu melaksanakan lebih daripada satu tugas yang mana ia dikenali sebagai multi tasking.


Jika sebelum ini tugasan audit stok barangan dilaksanakan oleh staf yang berada di dalam unit berkenaan sahaja, kini staf daripada unit pemasaran juga dikehendaki melakukan tugasan yang sama di samping melakukan tugasan-tugasan pemasaran.


Persoalannya, apakah kelebihan dan kekurangan yang boleh diperoleh dengan melaksanakan sistem multi tasking di dalam operasi harian sesebuah syarikat?  


JAWAPAN:


Di zaman permulaan revolusi industri, pendekatan yang digunakan ialah dengan melatih pekerja dalam tugas-tugas tertentu supaya mereka cekap dan proses pengeluaran menjadi efisien.


Pemikiran inilah yang banyak mempengaruhi susun atur organisasi untuk sekian lama.


Pekerja-pekerja disusun mengikut proses dan prestasi mereka dinilai berdasarkan kadar pengeluaran yang mana mereka terlibat.


Di zaman yang mana nilai yang dijana lebih dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan dan keupayaan berkoloberasi, pendekatan zaman awal revolusi perindustrian sudah tidak sesuai bagi perniagaan yang menggunakan model bisnes berteraskan ilmu.


Bila seorang pekerja melakukan pelbagai tugasan dan berkoloberasi, kerja itu juga menjadi lebih bermakna dan ini akan membantu di dalam meningkatkan kepuasan pekerja.


Beberapa perkara yang perlu dijaga di dalam kaedah multi tasking ialah sama ada skop kerja tersebut jelas, siapa yang bertanggungjawab jelas dan juga pekerja mendapat latihan yang berkaitan.


Skop dan tanggungjawab yang tidak jelas akan menyebabkan salah faham atau ada kerja yang tidak ada tuannya.


Tanpa latihan yang berkesan, susah juga seorang pekerja untuk melakukan dua tiga kerja dengan efektif dan efisien.


Sebelum sesebuah syarikat melaksanakan kaedah ini, kajian yang halus perlu dibuat, aliran kerja kena disesuaikan dengan konsep baharu ini, peranan dan tanggungjawab dijelaskan dan latihan yang bersesuaian diberi.


Setiap benda baharu akan memerlukan masa sebelum menjadi berkesan.


Jadi pemantauan dan penambah baikkan berterusan perlu sehinggalah satu tahap yang dirancang terlebih awal dicapai dan dapat dikekalkan sehingga menjadi tanda aras kesemua orang.


*** Penulis: Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, pengasas Inovastra Capital Sdn Bhd


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]