Polis tak benarkan debat Syed Saddiq, Razali

in Edisi Johor by


MUAR – Polis Johor tidak akan memberi kebenaran kepada pihak berkaitan untuk meneruskan penganjuran debat antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Razali Ibrahim yang dijadual berlangsung malam ini selepas mendapati program itu tidak menerima sebarang permit.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya tidak dapat mengeluarkan permit berikutan penganjur hanya memaklumkan program berkeaan namun tidak memohon kebenaran itu.


“Kami hanya menerima makluman program itu jam 10.30 pagi tadi melalui surat yang dikeluarkan mereka, namun bukan kebenaran mendapatkan permit.


“Justeru, pihak berkuasa tidak akan memberikan izin untuk mereka meneruskan sesi debat malam ni selepas mengambil kira faktor keselamatan dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program High Profile Policing di Dewan Serbaguna, Pagoh, di sini, sebentar tadi.


Semalam, calon PKR Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan pelawaan debat antara pihaknya kepada penyandang Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang dibuat pada Isnin lalu akan diteruskan.


Tegas Mohd Khalil, sekiranya penganjuran itu diteruskan mereka akan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.


“Pihak yang memohon beritahu nak adakan debat tapi pihak berkenaan tak mohon permit hanya maklum sahaja. Hakikatnya mereka patut dapatkan kebenaran permit terlebih dahulu kemudian baru kita pertimbangkan.


“Tapi sebab masa begitu singkat dan dirasakan ia tak sesuai jadi kita tak benarkan. Kita tak halang mana-mana pihak untuk berkempen tapi pelaksanaan tu penting. Kita nasihatkan agar semua pihak berkempenlah secara baik ” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]