SPR nafi jumlah pengundi pos empat juta

in Nasional by


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan dakwaan kononnya terdapat empat juta orang pengundi pos pada PRU14 ini.


Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, sebaliknya jumlah keseluruhan pengundi pos pada PRU14 hanya seramai 212,834 orang yang meliputi pelbagai kategori permohonan.


“Jumlah pengundi pos tersebut merangkumi permohonan melalui Borang 1A seperti petugas pilihan raya, anggota tentera, anggota polis dan petugas media sebanyak 149,730 permohonan. Manakala bagi kategori permohonan melalui Borang 1B pula iaitu terdiri daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara adalah sebanyak 7,979 permohonan.


“Selain itu, permohonan melalui Borang 1C pula adalah pengundi pos yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, anggota Polis Sukarelawan (PVR), petugas kesihatan di hospital dan klinik kerajaan, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim, anggota Angkatan Pertahanan Awam, anggota Jabatan Penjara dan anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara iaitu sebanyak 51,472 permohonan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, terdapat juga kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara yang merupakan penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangan serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan iaitu sebanyak 3,653 permohonan.


Dalam pada itu, Mohd Hashim turut menasihatkan pengundi pos agar tidak mempercayai mesej tular di media sosial yang menggesa mereka hanya mengembalikan kertas undi pos tanpa mengembalikan borang pengesahan identiti kerana kononnya undi tidak akan menjadi rahsia lagi.


“Sekiranya mereka tidak mengembalikan kertas undi berserta dengan borang tersebu, kertas undi pos mereka tidak akan dikira dan ditolak kerana dianggap tidak ditanda oleh pemilih yang berdaftar,” katanya.


Menurutnya, SPR akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menularkan mesej tidak benar berbentuk hasutan agar pengundi pos tidak mengembalikan borang pengesahan itu.


“Ini kerana ia boleh menyebabkan proses pengundian terjejas dan kertas undi tersebut tidak dikira dan ditolak.


“SPR memberi jaminan kepada semua pengundi termasuk pengundi pos bahawa undi mereka adalah rahsia dan tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]