Cara Azmin berpolitik tak matang

in Edisi Selangor KL by


KUALA SELANGOR – Kenyataan Menteri Besar Selangor yang menyuruh penduduk Assam Jawa menampar Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim jika meminta undi adalah satu tindakan politik tidak matang.


Pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Assam Jawa menyifatkan kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu berbaur provokasi terhadap BN.


Pengerusinya, Azemi Kasim berkata, tidak seharusnya seorang pemimpin sebuah negeri termaju mengajak penduduk kampung untuk berkelakuan kasar terhadap calon pilihan raya.


“Apa yang diminta Menteri Besar Selangor ini adalah tindakan politik tak matang, mungkin beliau masih belum memahami proses pilihan raya yang membenarkan calon meminta undi sewaktu berkempen.


“Pada pandangan saya, Kuala Selangor mengalami banyak perubahan sepanjang hampir lima tahun Datuk Seri menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor,” katanya.


Katanya, secara jujurnya wakil rakyat sekarang ini sudah melakukan yang terbaik bahkan penduduk dapat merasai kemajuan dan perubahan yang sangat ketara.


“Saya fikir Menteri Besar Selangor sengaja buat-buat rabun dan pekak, takkanlah sepanjang perjalanan beliau ke Kuala Selangor tidak dapat rasakan perubahan.


“Malah lampu jalan turut disumbangkan Datuk Seri Dr Irmohizam selain baik pulih rumah dan naik taraf jalan kampung.


“Eloklah beliau selesaikan dulu masalah air di Selangor dan soal tanah di Ijok. Saya rasa penyokong Azmin juga tidak akan hormat pada beliau, jika beginilah amalan beliau untuk suka menghasut rakyat melakukan perbuatan tak baik,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]