Debat tertutup Syed Saddiq-Razali dibatalkan

in Edisi Johor by


MUAR – Sesi perdebatan antara ketiga-tiga calon Parlimen Muar yang dijadualkan berlangsung secara tertutup petang ini dibatalkan selepas mengambil kira pelbagai faktor khususnya isu ketenteraman awam.


Pengerusi Keselamatan Daerah yang juga Pegawai Daerah Muar, Onn Jabbar berkata, keputusan membatalkan program hujah itu terpaksa dibuat selepas mengadakan perbincangan tertutup bersama kesemua wakil calon tengah hari tadi.


“Dalam jam 12 tengah hari, kami adakan perbincangan bersama wakil dan saya berpendapat ia tidak sesuai dilakukan kerana bimbang dengan perkara luar jangkaan yang mungkin tercetus.


“Pada masa sama, saya turut adakan perbincangan dengan calon ini sendiri kira-kira jam 5petang tadi memaklumkan keputusan ini sebelum ianya turut dipersetujui oleh dua calon terlibat yang mana proses perdebatan ini tak akan berlaku,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar, di sini, sebentar tadi.


Menurut Onn, pihaknya mengakui tidak dapat meneruskan sesi perdebatan bagi dua calon berkenaan selepas mendapati kebarangkalian isu keselamatan yang mungkin berbangkit meskipun ia diadakan secara tertutup.


“Pas sejak dari awal telah mengatakan pendirian mereka untuk tidak menyertai debat atas alasan konsep ini bukan wadah perjuangan mereka. Manakala bagi PKR, ini merupakan satu strategi perjuangan mereka untuk penjelasan isu semasa yang menyebabkan BN merasa sangat tercabar dengan pelawaan tersebut


“Bagaimanapun, saya selaku pengerusi keselamatan daerah bersama pihak berkaitan telah membuat risikan semalam (sesi dialog) mendapati kalau program ini diteruskan pastinya menimbulkan isu keselamatan iaitu daripada segi penyokong.


“Berdasarkan pemerhatian saya semalam pun dapati terlalu ramai penyokong dan kalau program ini diteruskan, maka akan ada pertembungan penyokong daripada dua lawan. Kita bimbang kalau bertemu akan ada perbalahan sehingga keadaan tak terkawal.


“Sebagai contoh pada penamaan calon baru-baru ni pun tetap berlaku isu apabila ada penyokong yg merendahkan calon lawan ketika diumumkan meskipun penyokong dipisahkan,” katanya.


Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kesemua calon untuk memanfaatkan tempoh kempen yang singkat ini secara aman tanpa memikirkan isu perdebatan.


“Saya juga tak nak daerah Muar dicemari dengan provokasi khususnya menjelang PRU ini. Harap mereka dapat memberikan kenyataan kepada penyokong masing-masing agar keadaan terkawal,” katanya.


Terdahulu, puluhan penyokong Pakatan Harapan yang sedia menanti acara berkenaan hampa selepas sesi debat itu disahkan tidak akan berlangsung.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]