Dekad baharu Sekijang

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Mempertaruhkan calon muka baharu di Parlimen Sekijang bagi PRU14 namun individu yang akan memegang amanah ini bukan seseorang yang asing.


Penyandang kerusi Dun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat yang juga merupakan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor (2013-2018) amat disegani dan cukup terkenal dengan sikap ‘berjenaka’.


Kredibiliti Ayub dalam arena politik telah teruji dan terbukti mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.


Sepanjang beliau berkecimpung dalam kancah politik sebagai Adun Kemelah sejak 2004 pelbagai sumbangan telah diberikan di kawasan Sekijang.


Antaranya, menaiktaraf dan mendirikan dua masjid iaitu Masjid Segamat Baru dan Masjid Bandar IOI, lima dari enam sekolah-sekolah agama di dalam Dun Kemelah yang dijanjikan telah siap dan digunakan serta mendirikan Gerai Muafakat di Bandar IOI.

Ayub akan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin.


Ayub optimis untuk memperkenalkan konsep ‘Dekad Baharu Sekijang’ yang memberi fokus melengkapkan dan memberi peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, pelbagaikan kegiatan ekonomi dan mengembangkan industri yang mempunyai potensi.


“Kita mahu membawa pelabur potensi sama ada dari dalam dan luar negara ke Sekijang sekali gus memanfaatkan kewujudan Pelabuhan Darat Segamat (SIP) yang baharu diaktifkan semula.


“Limpahan pelaburan mewujudkan peluang pekerjaan di lima kawasan Felda di Sekijang iaitu Pemanis 1 dan 2, Medoi, Kemelah, Redong bagi mengelakkan generasi muda Felda daripada bermigrasi ke tempat lain,” katanya.


Malah katanya, perancangan tersebut juga disokong dengan pembinaan Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) selain suntikan dana sebanyak RM20 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.


Penuhi keperluan rakyat


Ayub turut berhasrat mewujudkan pusat sehenti pemasaran produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan merancang untuk membuka Pusat Transformasi Bandar (UTC) di kawasan tersebut selain menambah dan mempertingkatkan infrastruktur.


Rekod kecemerlangan Ayub di Kemelah diterjemahkan menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yg bernilai RM231 juta, mewujudkan stesen indeks pencemaran udara (IPU), pembinaan hospital swasta bagi pilihan perubatan penduduk di daerah Segamat dan memastikan kebajikan setiap kaum secara sama rata.


“Perancangan pembinaan stadium baharu yang telah lama diimpikan rakyat Segamat bakal dibina dalam kawasan Sekijang,” katanya.


Ayub turut bercadang menaik taraf Hospital Segamat kepada lebih baik juga dalam urusan perlaksanaan sekali gus daerah Segamat juga bakal dibina hospital swasta bertujuan sebagai pilihan kepada rakyat untuk menerima rawatan.


“Saya sedar akan tanggungjawab ini dan akan membawa perubahan yang besar dan meletakkan strategi yang berkesan kepada rakyat di kawasan Sekijang yang semestinya bentuk perubahan yang akan dilaksanakan semestinya menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat Sekijang.


“Harapannya, tanggungjawab memilih yang ada di tangan seluruh rakyat Sekijang untuk sama ada ingin memilih pemimpin yang mampu menjadi tonggak utama kepada kesejahteraan seluruh rakyat Sekijang mahupun tidak,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]