Hampir semua manifesto BN dipenuhi

in Nasional by


TELUK INTAN – Hampir kesemua manifesto yang dijanjikan oleh BN semasa PRK  2014 Teluk Intan sudah dipenuhi dan sedang dijalankan demi kesejahteraan rakyat di Parlimen berkenaan.


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, dakwaan pembangkang bahawa tiada sebarang pembangunan dibawa ke Teluk Intan seperti yang dijanjikan kerajaan BN dalam manifesto PRK 2014 adalah tidak tepat sama sekali.


“Saya nak tegaskan manifesto adalah penting kerana ini adalah apa yang kita jalankan untuk manfaat rakyat dalam mentransformasikan Teluk Intan dengan mencipta lebih banyak peluang.


“Misalnya projek Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan bakal mempunyai 3,000 pelajar serta tenaga pengajar yang mampu meningkatkan ekonomi di Teluk Intan selain mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN Parlimen Teluk Intan bagi PRU14, baru-baru ini.


Siew Keong yang juga calon BN Parlimen Teluk Intan berkata, masalah rumah mampu milik di Teluk Intan merupakan masalah yang cuba diselesaikan beliau dan turut menjadi manifesto semasa PRK 2014.


“Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan pecah tanah bagi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Batu 4, Changkat Jong melibatkn 1,000 unit.


“Tidak cukup dari itu, kerajaan negeri melalui Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir telah menyerahkan kunci kepada rakyat Teluk Intan melibatkan 150 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana, tahun lalu,” katanya.


Tambahnya pengumuman Najib menambah sebanyak 350 unit PPR yang bakal di bina pada fasa kedua dan ketiga sebagai manifesto BN di Teluk Intan adalah selari dengan hasrat beliau untuk mewujudkan 500 rumah PPR untuk golongan B40.


Selain itu, susur keluar Lebuhraya Persisiran Pantai (WCE) dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak juga merupakan salah satu pembangunan terpenting yang dibawa oleh Siew Keong dalam merancakkan lagi ekonomi serta taraf hidup penduduk di Teluk Intan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]