Jagalah nasib belia: Pengerusi Majlis Belia Daerah

in Edisi Pahang by


KUALA ROMPIN – Majlis Belia Daerah Rompin mahu kerajaan yang memerintah selepas PRU14 mengambil peduli nasib belia yang kini semakin mencabar.


Pengerusinya, Mohd Hafiz Bakar, belia termasuk graduan perlu perlu dibela kerana situasi masa.


Merujuk kepada tempat asalnya iaitu Kuala Rompin, katanya perlu ada pembangunan seperti sektor industri yang mampu mewujudkan sumber pekerjaan sekali gus menjadi sumber pendapatan kepada penduduk.


“Sekarang peluang pekerjaan sangat sedikit dan perlu ditambah, secara mudahnya graduan balik ke sini memang tiada kerja lalu terpaksa ke bandar, daerah atau negeri lain untuk cari pekerjaan.


“Mungkin mereka boleh pilih untuk berniaga atau jadi usahawan namun tetap sukar kerana jumlah penduduk yang tidak padat mendatangkan risiko kepada sebarang bentuk perniagaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, Rompin merupakan laluan utama Timur ke Selatan dan sepatutnya situasi itu menjadi peluang yang perlu dimanfaatkan untuk membangunkan daerah.


Mohd Hafiz berkata, industri pelancongan perlu diperkasakan atau mewujudkan hab ekonomi yang secara tidak langsung menjana peluang pekerjaan atau ekonomi.


“Belia dan masyarakat Rompin secara amnya memang mendesak agar perubahan dilakukan di daerah ini, perlu ada pembangunan menyeluruh yang boleh dirasai semua,” katanya.


Dalam pada itu, beliau juga mahu kerajaan mempermudahkan pemilikan tanah bagi membolehkan golongan itu membina rumah.


“Ini juga antara yang akan meringankan beban belia, mereka hanya perlu sediakan wang untuk buat rumah,” katanya.

 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]