'Kami tak dapat dedak, kami tak sewa bas pun datang'

in Politik by


HULU KELANG – Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuji rakyat khususnya di Selangor kerana tidak memerlukan sebarang bentuk imbuhan untuk hadir ke program Pakatan Harapan (Harapan).


Menjelaskan lebih dekat sikap rakyat Selangor kepada Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohamed Azmin berkata pelbagai kaum negeri ini bersatu padu dan hadir ke program anjuran kerajaan negeri dengan kerelaan hati.


Kemudiannya, beliau meminta pengamal media yang hadir agar menyampaikan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


“Saya nak bagi tahu dengan Tun (Mahathir), saya tak sewa bas untuk rakyat datang.


“Kepada media, tolong bagi tahu kepada Datuk Seri Najib, kami (rakyat) datang sendiri, kami tak dapat wang, kami tak dapat dedak tapi kami bertekad untuk tumbangkan Umno dan BN.


“Sebab itulah sambutan rakyat pada malam ini (malam tadi) luar biasa, di Melaka pun orang (hadir) ribu, di Selangor (pula) puluhan ribu,” katanya pada program Malam Semarak Tsunami Rakyat, malam tadi.


Mohamed Azmin kemudiannya mengajukan soalan kepada hadirin adakah mereka mahu jika BN hendak merampas negeri Selangor pada PRU14.


“Kalau BN mahu rampas Selangor boleh ke tuan tuan? Nak bagi pada (Tan Sri) Noh Omar ke tuan-tuan? Nak bagi pada (Datuk Seri) Jamal (Md Yunos) ke tuan-tuan?


“Jadi berilah mandat ini kepada Harapan tuan-tuan. Kalau kita telah berjaya di Selangor, saya yakin kita boleh berjaya di Putrajaya pada 10 Mei ini,” katanya disambut dengan sorakan hadirin.


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]