KPKT bina 85,198 rumah PPR

in Edisi Johor by


KLUANG – Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membina 85,198 unit rumah melibatkan 125 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara sejak 2001 hingga kini.


Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, keseluruhan projek tersebut melibatkan perbelanjaan hampir RM6.1 bilion.


Katanya, melalui penyediaan unit-unit rumah ini, kerajaan telah tunai janji beri kemudahan perumahan kepada lebih 300,000 rakyat memerlukan.


“125 projek yang sudah siap merupakan sebahagian daripada 210 projek melibatkan 118,310 unit rumah yang dirancang.


“Di Johor sahaja, kerajaan giat bina 14,425 unit PPR. Daripada jumlah tersebut, 8,278 unit rumah PPR telah siap dibina, 5,047 unit sedang dibina dan 1,100 unit dalam perancangan termasuk PPR Permas Jaya.


“Kerajaan menyediakan peruntukan RM1.6 bilion bagi pelaksanaan projek PPR di negeri Johor dan negeri Johor merupakan negeri ketiga tertinggi yang menerima kelulusan projek PPR selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran PPR Taman Saujana Damai, di sini, hari ini.


Turut hadir, Exco Perumahan dan Kerajaan Negeri, Datuk Md Jais Sarday.


Halimah berkata, terdapat 47 projek lagi sedang disiapkan melibatkan 18,650 unit rumah termasuk 600 unit PPR Taman Saujana Damai.


Beliau berkata, sebanyak 38 projek lagi masih di dalam perancangan yang melibatkan 14,462 unit rumah.


Katanya, mengenai PPR Taman Saujana Damai yang akan mula dibina pada November ini dan dijangka siap pada 2021.


“Rumah PPR itu akan dijual RM35,000 seunit berbanding harga pasaran RM195,000.


“Pembinaan PPR ini membuktikan kerajaan amat serius dan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa serta mampu disewa atau dibeli oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, terutamanya golongan B40,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]