Mansuh GST tiada jaminan harga barang turun

in Nasional by


PUTRAJAYA – Tiada jaminan harga barang akan turun sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) menghapuskan pelaksanaan cukai GST selepas memenangi PRU14.


Setiausaha Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, ini kerana GST bukanlah faktor utama kenaikan harga barang.


“Sebenarnya banyak faktor menyebabkan kenaikan harga barang, jadi tidak mungkin hanya dengan memansuhkan GST, harga barang akan turun,” katanya, hari ini.


Menurutnya, antara faktor kenaikan harga barang di pasaran adalah penawaran dan permintaan, tingkah laku pengeluar ketika berhadapan dengan ketidaktentuan, musim dan kejatuhan nilai ringgit.


Beliau berkata, tiada bukti daripada 160 negara melaksanakan GST yang menunjukkan cukai itu penyebab harga barangan naik.


Sementara itu, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia tidak akan mengalami kebankrapan kerana secara umumnya negara ini diurus dengan baik.


Menurutnya, sejak 1980 hingga 2016, ekonomi negara berkembang sebanyak lapan kali ganda manakala purata pendapatan lebih tiga kali ganda.


“Negara kita menghampiri negara berpendapatan tinggi. Kadar kemiskinan yang tinggal hanyalah 0.34 peratus,” katanya.


Beliau berkata, sebagai negara kecil dan terbuka, Malaysia terdedah dengan kejutan yang berlaku di serata dunia.


“Episod kelembapan ekonomi yang dihadapi pada 2014 adalah disebabkan faktor luaran,” katanya.


Noor Azlan berkata, rizab antarabangsa menunjukkan lima kali ganda sejak 1997.


“Pada 1997, negara mempunyai AS$ 20 bilion rizab antarabangsa manakala pada tahun lalu meningkat sehingga AS$ 104 bilion,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]