PRU14: Razif nafi nak laksana hudud

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini, menafikan laporan sebuah portal yang menyatakan pentadbiran kerajaan negeri kini dalam proses pelaksanaan hukum hudud.


Beliau sebaliknya berkata, kenyataannya itu tidak bermaksud Terengganu akan melaksanakan hudud.


Menurut Ahmad Razif, dia tidak boleh membuat keputusan itu (laksana hudud) kerana ia perlu datang daripada kepimpinan tertinggi kerajaan, memandangkan mereka berpegang kepada konsensus iaitu keputusan bersama.


“Tapi saya menceritakan bahawa tiada masalah untuk saya, kerana kita sendiri sebelum ini telah pun bersama-sama bersetuju kalau nak melaksanakan tapi dengan syarat, penerimaan oleh semua pihak.


“Tapi viral hari ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang nak supaya berlaku perpecahan antara kita, antara orang Islam dan bukan Islam, ini merupakan satu sifat yang tidak baik. Nanti berjumpalah di padang Mahsyar, orang yang menulis ini. Jangan adu domba orang, sebab nak suruh antara bukan Melayu marah kepada saya bahawa Menteri Besar Terengganu nak buat hudud di Terengganu.


“Bila saya kata? Saya akan minta unit perundangan untuk tengok balik, kita akan saman. Kerana saya tak kata pun Terengganu akan buat hudud, jangan memanipulasikan kenyataan saya dan jangan cuba nak hancurkan negeri dan negara kita dengan membuat satu fitnah yang tidak betul,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan SPNB Idaman dan Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Kampung Tok Jembal di Tapak Perumahan SPNB di Kuala Nerus, hari ini.


Semalam, sebuah portal melaporkan Ahmad Razif mengakui pentadbiran kerajaan negeri itu kini dalam proses pelaksanaan hukum hudud, ketika berucap di depan orang ramai dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Portal itu mendakwa, Ahmad Razif menyatakan kerajaan negeri tidak ada masalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam berkenaan.


Ahmad Razif menjelaskan, kerajaan negeri bersedia laksanakannya, tapi yang pastinya BN akan menghormati keputusan daripada semua parti komponen.


“Bila nak laksanakan, kita mesti dapatkan persetujuan tetapi di pihak Umno Terengganu, kita tidak ada masalah, kita setuju tetapi kita tetap berpegang kepada prinsip, parti komponen dan BN, maknanya kita akan dengar pandangan mereka dan akhirnya keputusan yang dibuat hasil perbincangan mereka.


“Cuma, apa yang saya nak beritahu pernah ada dalam sejarah, telah berlaku hukuman. Bukannya hudud dijalankan tetapi hukuman di antara hudud itu luas. Baca molek-molek apa yang dikatakan hudud, hudud itu luas, hudud ini keseluruhan kehidupan. Tapi apa yang saya beritahu berlaku di Terengganu, sebahagian kecil daripada hudud itu telah dilaksanakan.


“Kalau nak katakan hudud, sekarang pun banyak hudud berjalan sebab hudud ini ada belaka. Tapi janganlah nak ambil kepentingan kerana nak bantu pembangkang, pusing cerita,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]