Raja Bahrin kesal poster disabotaj

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang merosakkan bahan kempen berupa poster dan papan iklan gergasi memaparkan gambar beliau di sekitar Kuala Terengganu.


Beliau yang bertanding mewakili PKR di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Dun Batu Burok berkata, dianggarkan berbelas poster kempennya disabotaj parti lawan dengan bendera dibuang manakala papan iklan gergasi pula ditumbangkan dan perkara ini mula disedari sejak beberapa hari lalu.


Menurut Raja Bahrin, kawasan paling ketara poster dan kain rentang Pakatan Harapan dirosakkan adalah di Dun Batu Burok tempat beliau bertanding iaitu di simpang empat Shell Batu Burok, Kampung Kubang Ikan, Pantai Pandak dan sekitar Jalan Panji Alam.


“Saya berpendapat perbuatan ini dilakukan sebagai cubaan pihak tertentu yang semakin bimbang dengan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan yang bertanding di bawah lambang PKR dalam PRU14.


“Perkara ini amat mendukacitakan kami kerana sebagai sebuah negara yang sudah lama merdeka, pemikiran rakyat negara kita sepatutnya sudah semakin matang dan tidak melakukan perbuatan sedemikian,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.


Bagaimanapun kata Raja Bahrin, beliau percaya sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan tidak akan terjejas walaupun posternya disabotaj.


Pengerusi Amanah Terengganu itu juga akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.


“Saya ingatkan di sini bahawa sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan tidak akan berganjak, malah perbuatan itu semakin menimbulkan rasa benci rakyat.


“Saya juga percaya rakyat mahukan perubahan dan akan beri peluang kepada Pakatan Harapan bagi memulihkan kembali sistem pentadbiran di negara kita,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]