Saingan di Bentong sengit

in Edisi by


BENTONG – Kerusi Parlimen Bentong merupakan antara yang menarik untuk diperkatakan pada PRU14 ini memandangkan terdapat dua nama besar yang bertanding di situ.


Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong serta Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang mempertahankan kerusi Dun Pelangai.


Boleh dikategorikan antara kerusi panas di Pahang pada PRU14 ini, Parlimen Bentong menyaksikan pertembungan sengit antara Tiong Lai dengan lawan lamanya, Wong Tack (PKR).


Jika dilihat kepada rekod PRU13, kedua-duanya dilihat hampir sama hebat cuma kemenangan memihak kepada Menteri Pengangkutan itu dengan majoriti tipis, 379 undi sahaja.


Manakala Adnan nampaknya tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi Dun Pelangai berdasarkan kelebihan dimiliki sekiranya mengambil kira keputusan PRU11, PRU12 dan PRU13 biarpun ditentang calon Pas, Zaharim Osman dan calon PKR, Nor Hizam Abu Hassan kali ini.


Namun BN kemungkinan terus berdepan laluan sukar merampas tiga kerusi Dun Sabai, Ketari dan Bilut dari pembangkang khususnya DAP.


Pada PRU13, DAP melalui calonnya, Chow Yu Hui menang selesa di kerusi Bilut dengan majoriti 2,607 undi mengalahkan wakil BN, Leong Kim Soon.


Situasi sama disaksikan di Dun ketari apabila wakil DAP, Lee Chin Chen menewaskan calon BN, Woong Choo Yak dengan majoriti agak selesa, 2,140 undi.


Namun, jika dilihat kepada kerusi Dun Sabai, calon BN, R Goonasakaren mungkin mampu mencipta kejutan merampas kerusi itu dari DAP kali ini memandangkan majoriti undi dimenangi calon DAP ketika itu, DR Kamache hanya 117 undi sahaja.


Memang nampak akan berlaku persaingan sengit di kerusi parlimen dan empat kerusi Dun di Bentong ini.


Apatah lagi dalam situasi tiga penjuru apabila Pas yang bergerak atas tiket Gagasan Sejahtera tidak memberi laluan mudah apabila bertindak berani meletakkan calonnya biarpun secara keseluruhannya kawasan itu mempunyai pengundi bukan Melayu yang ramai.


Pas meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), N Balasubramaniam di kerusi Parlimen Bentong, selain Mohd Zamri Nong (Dun Bilut), Roslan Md Isa (Dun Ketari), Mohd Khairuddin Abdullah (Dun Sabai).


Dengan jumlah pengundi berdaftar 67,359 pengundi, tiga parti bertanding di sini menggunakan kesempatan sepanjang berkempen.


Secara gambaran kasar, BN dan DAP mungkin sudah ada penyokong sedia ada dan sokongan pengundi baharu memberi kelebihan dan lebih peluang untuk menang.


Pas biarpun nampak sukar untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu, setidak-tidaknya ia mampu untuk menidakkan peluang majoriti besar BN dan PKR.


Boleh dikatakan BN tidak membiarkan kerusi Parlimen dan Dun Pelangai terlepas tangan kali ini kerana nama baik dua tokoh perlu dipertahankan. Jika mereka tewas, ia akan memberikan kemenangan moral cukup besar kepada pembangkang.


Tapi jika dilihat kepada calon yang dipertaruhkan DAP dengan melakukan pertukaran calon bagi kerusi-kerusi itu, selain calon ‘popular’ dalam kalangan muka baharu, ia juga boleh menidakkan lagi peluang BN kali ini.


Misalnya, calon Melayu DAP yang masih muda dan segar di Dun Ketari, Young Syefura Othman atau Rara dilihat bukan saja mampu mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, malah peluang menarik sokongan pengundi Melayu juga cukup besar terutama dalam kalangan anak muda.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]