Sambung kontrak lama atau baharu?

in Edisi Utara by


PENDANG – Rakyat dinasihat membuat pilihan tepat sama ada mahu menyambung kontrak pentadbiran sedia ada atau menandatangani kontrak baharu dengan memilih Pakatan Harapan (Harapan).


Bekas pimpinan tertinggi Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, ini kerana rumah (parti) yang didiami sejak sekian lama sudah usang dan hampir roboh.


Menurutnya, hanya rakyat yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada mahu mendiami rumah lama atau baharu.


“Yang berkuasa adalah rakyat, bukan kerajaan. Nak pilih parti yang pentingkan kebajikan rakyat atau parti yang terbit manifesto macam buku novel? Sepatutnya Umno kemuka buku laporan prestasi, bukan kempen manifesto sebab dah lama perintah,” katanya ketika berucap pada Jelajah Harapan Pendang, hari ini.


Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno itu berkata, pengurus baru yang diuarkan, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dibantu pasukan muda mampu membawa negara ke arah lebih baik.


“Harapan sudah umum Mahathir sebagai perdana menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula timbalannya. Ada lagi suara sumbang canang kuasa jatuh pada DAP,” katanya yang aktif selama 35 tahun dalam politik.


Rafidah turut kagum pada semangat Mahathir yang masih lagi berkempen untuk negara pada usia 93 tahun.


“Kesian saya tengok Mahathir turun berkempen seluruh negeri, kadang kurang sihat. Saya anggap beliau macam bapa sendiri, namun jangan diusik sarang tebuan, dia sengat nanti. Ada juga suara sumbang kata saya nenek meroyan bercakap tak henti sana sini, tapi demi negara kami sanggup,” katanya.


Dalam ucapan hampir 45 minit itu, Rafidah turut mengingatkan pengundi supaya jangan mempersoal calon payung terjun yang diketengahkan parti.


“Jika calon itu dianggap payung terjun, bukan anak tempatan, tidak mengapa asalkan untuk kebaikan masa depan. Saya dulu pun calon payung terjun di Selayang dan Kuala Kangsar, janji kemenangan berpihak pada kita,” katanya.


Menurutnya, kemenangan calon menentukan kemenangan parti, sekali gus memastikan Harapan membentuk kerajaan baharu di peringkat negeri mahupun Pusat.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]