Sambut baik penangguhan sementara

in Uncategorized by


BEHRANG ULU – Pengumuman Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC) menghentikan sementara pembinaan stesen hidro elektrik di Ulu Slim bagi melakukan kajian terperinci isu dibangkitkan masyarakat Orang Asli di situ disambut baik kerajaan negeri.


Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, sebelum ini, masyarakat Orang Asli di kawasan itu kerap kali memaklumkan kepada beliau kebimbangan dan kekecewaan mereka terhadap perkara yang berlaku.


Katanya, Orang Asli di kawasan itu juga menyatakan kebimbangan mereka apabila pembinaan stesen hidro elektrik itu mengundang impak kepada ekosistem.


Menurutnya, beliau sendiri turun padang selepas mendengar aduan masyarakat Orang Asli khususnya di Pos Bersih bagi sendiri keadaan air sungai bertukar warna seakan-akan teh susu.


“Apabila saya mendengar PHREC sanggup menangguhkan projek ini supaya satu kajian terperinci berkenaan impak projek mereka itu kepada ekosistem ini, saya sangat berterima kasihlah kepada PHREC ini.


“Ini menunjukkan syarikat itu mendengar luahan  hati masyarakat Orang Asli itu sebab sungai itu adalah di mana habitat ikan sungai kelah wujud di situ dan kita tahu ikan kelah ini  dah hampir pupus menyebabkan masyarakat Orang Asli di kawasan itu agak bimbang kerana mereka tidak mahu kehilangan warisan itu,” katanya.


Beliau berkata demikian  ditemui selepas mengadakan  majlis beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli Chinggung, Behrang Ulu, petang semalam.


Rusnah yang juga calon BN Dun Behrang menegaskan, masyarakat Orang Asli tidak membantah projek tersebut, namun yang membimbangkan kesannya terhadap ekosistem khususnya sungai.


Katanya, jika masalah itu dapat diatasi mereka mengalu-alukan pembangunan tersebut dan  apabila PHREC membina empangan itu manfaatnya seperti tenaga elektrik akan dapat kepada mereka.


“Jika kita tengok  kampung yang paling dekat dengan projek tersebut adalah Kampung Tibang yang masih belum ada  kemudahan elektrik dan jika ia siap sudah tentunya memberikan manfaat kepada kampung itu.


“Oleh sebab itu, mereka tidak membantah  dari segi projek itu dan apa yang mereka bantah adalah kesannya dan kenapa tidak dibuat sesuatu untuk meminimakan kesan buruk terhadap sungai dan kawasan pertanian mereka. Itu sahaja yang mereka persoalkan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]