Streram fail saman SPR

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau N27, Dr S Streram memfailkan saman terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menuntut SPR membayar ganti rugi berjumlah lebih RM2.6 juta selepas pencalonannya ditolak untuk bertanding pada PRU14.


Streram, 63, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Haniff Khatri di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Pengurus Pilihan Raya iaitu Amino Agos Suyub dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua melalui firma guaman Tetuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.


Berdasarkan penyataan tuntutan, Streram mendakwa beliau telah membayar deposit pencalonan sejumlah RM5,000, selain deposit bahan kempen sebanyak RM3,000 kepada pejabat SPR Seremban. 


Beliau mendakwa, tidak mendapat maklumat bahawa tag atau pas nama calon diperlukan untuk masuk ke dewan pencalonan dan hanya mengetahui perkara itu pada sebelah petang sehari sebelum penamaan calon, namun pejabat yang mengeluarkan pas itu telah ditutup.


Susulan itu katanya, beliau ke pejabat SPR keesokan harinya sehari sebelum ke dewan penamaan calon, namun gagal mendapatkan pas berkenaan.


Sehubungan itu, beliau tidak dibenarkan memasuki dewan penamaan calon pada jam 9 pagi.


Bagaimanapun menurutnya, borang pencalonannya telah dihantar oleh orang lain kerana tidak dapat masuk ke dewan pencalonan, namun pencalonannya telah ditolak kerana beliau, pencadang dan penyokong tiada di dewan tersebut.


Malangnya, beliau mendapat tahu calon BN Dun Rantau telah menang tanpa bertanding ketika SPR membuat pengumuman di tempat pencalonan.


Susulan itu, dua laporan polis telah dibuat, selain menghantar serah surat bertarikh 30 April dengan melampirkan pencalonan lengkap kepada defendan, namun pada 4 Mei beliau telah menerima emel yang menyatakan penolakan pencalonannya.


Beliau menegaskan tiada keperluan undang-undang yang menyatakan bahawa tag atau pas masuk diperlukan untuk menjadi calon.


Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi segala sumbangan serta perbelanjaan kewangan, dan tenaga kerja bagi persiapan PRU14 Dun Rantau, ganti rugi khas, ganti rugi am, selain ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta, faedah dan kos serta relif lain yang sesuai.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]