Teluk Intan semakin membangun

in Uncategorized by


TELUK INTAN – Dikenali sebagai ‘Teluk Ensen’ di kalangan orang-orang lama, Teluk Intan pada asalnya dipanggil sebagai Teluk Mak Intan yang diambil dari seorang janda yang dikatakan membuka bandar ini sekitar awal abad ke-19.


Mak Intan merupakan seorang janda yang dikatakan mempunyai rupa paras yang cantik dan juga seorang saudagar berasal dari Mandahiling, Sumatera. Semasa penjajahan British nama Teluk Mak Intan telah ditukarkan kepada Teluk Anson oleh Presiden Perak ketika itu iaitu Hugh Low pada 1882 sebagai menghargai salah seorang Gabenor Inggeris, Jeneral Archibald Anson.


Pembinaan laluan kereta api yang menghubungkan Teluk Anson ke Tapah Road dan Ipoh yang siap sepenuhnya pada 1893 merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini kerana menjadi medium utama pengangkutan bijih timah ketika itu.


Bagaimanapun, berkuatkuasa 1 Januari 1982, nama Teluk Anson telah ditukarkan secara rasmi kepada Teluk Intan dan pekan ini terus membangun tahun demi tahun bersama mercu tanda bandar ini iaitu Menara Condong Teluk Intan.


Terletak di bawah Daerah Hilir Perak, Parlimen Teluk Intan kini semakin membangun dengan pelbagai kemajuan seperti pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan dan susur keluar Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak.


Lebih menarik lagi Projek Tebatan Banjir yang sedang berjalan di sepanjang Sungai Perak di Teluk Intan juga menjadi keutamaan di kawasan ini kerana mengikut kajian sekiranya ia tidak dijalankan, Teluk Intan bakal ditenggelami air dan menjadi pulau dalam tempoh 50 tahun akan datang .


Ban-ban batu sudah mula didirikan dan ia turut menjadi tarikan destinasi pelancongan terbaharu di Parlimen ini selain tarikan utama Menara Condong serta beberapa gerai makanan yang menjadi sebutan ramai seperti Mee Rebus Mastan Ghani.


Mempunyai dua Dun iaitu Changkat Jong dan Pasir Bedamar, setiap kawasan mempunyai taburan penduduk berbeza di mana Dun Changkat Jong didiami majoriti Melayu manakala Pasir Bedamar pula Cina.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]