Thinalan yakin kembalikan kegemilangan Port Dickson

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


PORT DICKSON – Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R Thinalan, merangkap calon BN bagi kerusi Dun Sri Tanjung yakin dapat mengembalikan kegemilangan Port Dickson sepertimana yang dilakukan oleh mendiang ayahnya, Datuk T Rajagopallu, yang pernah menjadi Adun Port Dickson (kini Sri Tanjung) pada 2004.


Peguam berusia 38 tahun itu berkata, sepanjang tempoh kempen berlangsung, beliau mendapati ramai masyarakat terutama peringkat akar umbi memberi sokongan kuat kepada pihaknya.


Katanya, beliau yakin masyarakat di sini mahukan perubahan memandangkan sejak dua penggal lalu, wakil rakyat pembangkang di sini tidak melaksanakan tugas dengan baik, malah sentiasa mengetepikan kebajikan rakyat.


“Saya yakin kali ini kita dapat merampas kembali kerusi Dun Sri Tanjung daripada tangan pembangkang, selama dua penggal mereka pegang satu pun pembangunan dan perubahan tidak dilakukan, malah masalah penduduk di sini terbiar begitu sahaja tanpa pembelaan.


“Saya yakin masyarakat di Dun ini akan menerima saya memandangkan saya telah turun di kawasan ini sejak empat tahun lalu, bukan datang masa PRU sahaja.


“Malah banyak program, aktiviti dan masalah rakyat telah saya selesaikan dengan menggunakan kewangan sendiri,” katanya.


Tambahnya, beliau sudah terbiasa dengan tugas berjumpa rakyat dan membantu mereka yang memerlukan, memandangkan sebelum ini sentiasa mengikut mendiang ayahnya bekerja dan turun padang berjumpa rakyat.


Katanya, beliau juga sering memberi khidmat nasihat guaman kepada masyarakat di kawasan ini secara percuma demi memastikan rakyat di kawasan ini terbela.


Sebagai calon muka baharu pada PRU14, Thinalan berkata, manifestonya memberi tumpuan terhadap keperluan dan pembangunan belia.


Antaranya mengadakan program mega seperti Pesta Port Dickson, Festival Motosikal Antarabangsa dan larian mega tahunan Port Dickson.


“Melalui acara-acara seperti ini, ia juga dapat memberi peluang kepada belia menjana pendapatan tambahan dengan berniaga dan sebagainya.


“Saya juga berjanji untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Sri Tanjung selain membaik pulih dan meningkatkan sistem jalan raya dan perparitan di sini,” katanya.


Dun Sri Tanjung (Port Dickson) di bawah Parlimen Port Dickson (Telok Kemang) memiliki seramai 14,422 pengundi.


Pada PRU14 ini, Thinalan berdepan dengan penyandang M. Ravi daripada PKR dan Kamarol Ridzuan Mohd Zain daripada Pas.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]