Tuah saat akhir bantu PKNP

in Sukan by


PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyifatkan tuah saat akhir menjadi penyumbang kejayaan pasukannya mengikat Selangor 1-1 di Cheras semalam.


Ujarnya, persembahan anak buahnya terutama pemain tempatan wajar dipuji dengan mempamerkan semangat juang sehingga minit terakhir untuk membolehkan pasukan membawa pulang satu mata berharga, namun pada masa sama beliau melahirkan kebimbangan terhadap pemain importnya.


“Bagi saya ini satu tuah, usaha terakhir pemain di saat-saat akhir berjaya memperoleh gol penyamaan untuk membawa pulang satu mata.


“Secara keseluruhan kita banyak mendapat peluang, empat percubaan dan dua tepat ke sasaran, namun apakan daya kita punya import belum lagi menjadi.


“Setakat ini hanya pemain tempatan sahaja yang menjadi untuk menjaringkan gol, dan dari sembilan perlawanan belum ada gol daripada penyerang import kita. Jadi bagi saya ini sangat beratlah kerana hanya pemain tempatan sahaja yang menjadi watak utama dalam pasukan,” katanya.


Justeru, Abu Bakar tanpa berselindung memberitahu beliau akan melakukan sesuatu pada jendela perpindahan bulan ini bagi memastikan pasukan dapat kekal bersaing di Liga Super.


“Keinginan saya tinggi kepada pemain-pemain import. Bila saya melihat pemain import sukar bersaing dengan pemain-pemain tempatan dan mendapat tempat di kesebelasan utama, susahlah.


“Jadi, saya sudah menghantar kertas kerja kepada pengurusan untuk mendapat tiga tempat pemain baharu pada jendela perpindahan ini kerana kita tidak mahu tersingkir ke Liga Premier. Apa pun, kita tengok reaksi pengurusan nanti,” katanya lagi.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]