‘10 peratus pun dah boleh menang’

in Uncategorized by


IPOH – DAP yakin dapat mengekalkan kerusi Dun Tebing Tinggi dengan hanya memperolehi sekitar 10 peratus undi Melayu, 9 Mei ini.


Calonnya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, walaupun pihaknya percaya bakal berlakunya tsunami Melayu, parti itu telah mengambil kira semua aspek termasuk peluang untuk menang.


“Daripada kempen dijalankan, undi Cina solid kepada kita, begitu juga kaum India yang memiliki lapan peratus di sini, jadi kalau dapat 10 peratus undi Melayu, itu sudah menjamin kemenangan Harapan di sini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Harapan di Jalan Desa Pengkalan, semalam.


Pada PRU13 lalu, kawasan Dun Tebing Tinggi mempunyai majoriti pengundi Cina iaitu 73 peratus namun selepas persempadanan dilakukan, peningkatan pengundi Melayu mencecah 57 peratus diikuti Cina 34 peratus dan India (8 peratus).


Abdul Aziz berkata, persempadanan semula yang dilakukan ini tidak lain hanya untuk memenangkan BN terutama di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.


Kerana itu katanya, BN tidak pernah mahu memperakui akan berlakunya tsunami Melayu pada PRU14 ini.


“Hasil persempadanan pada 2003 menyaksikan BN menang besar pada PRU 2004 kerana menerima sokongan undi Melayu.


“Mungkin mereka mengharapkan perkara sama kali ini, tapi ini tahun 2018, kaum Melayu tidak menampakkan undi mereka sepertimana kaum lain, jadi untuk menjangkakan satu kemungkinan sahaja, adalah mustahil,” katanya.


Pada PRU14 ini, Abdul Aziz yang merupakan calon Melayu DAP tunggal di Perak berdepan tiga penjuru di Dun Tebing Tinggi dengan calon BN, Khoo Boon Chuan dan Mazlan Md Isa (Pas).


INFO


P.064 IPOH TIMOR


N.25 CANNING


N.26 TEBING TINGGI


N.27 PASIR PINJI


Jumlah pengundi P.064 Ipoh Timor: 89,218


*Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]