1,000 petugas SPR siap sedia

in Edisi by


KERAYONG – Kira-kira 1,000 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Bera bersiap siaga melakukan persiapan terakhir  bagi menghadapi proses membuang undi yang dijadualkan bermula jam 8 pagi esok.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, semua petugas dipanggil untuk hadir di Dewan Kompleks Rakan Muda yang merupakan Pusat Pengumpulan Undi (PPU) bagi menyemak peti undi dan peralatan yang akan digunakan sempena PRU14 ini.


Menurutnya, persediaan itu membabitkan petugas di semua 36 Pusat Daerah Mengundi (PDM) agar mereka memahami tugasan yang digalas mereka.


“Semua PDM akan dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup antara jam 2 petang, 5 petang atau 7 petang bergantung kepada jumlah pengundi di setiap PDM.


“PDM Kampung Pasal merupakan PDM pertama dijadualkan akan ditutup awal pada jam 2 petang berdasarkan jumlah pengundi yang tidak ramai, selain faktor jarak antara PDM terbabit dengan PPU,” katanya.


Beliau berkata, seramai 58, 711 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Bera yang akan keluar mengundi bagi memilih bakal wakil rakyat mereka yang membabitkan Dun Guai, Triang dan Kemayan.


“Anggota polis yang bertugas akan berada dalam kenderaan yang membawa peti undi dari setiap PDM ke PPU bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Malah, PPU juga akan dikawal oleh anggota polis dalam tempoh 24 jam sehingga proses pengiraan undi selesai.


“Saya nasihatkan semua pengundi agar dapat keluar awal bagi mengelak kesesakan di jalan raya, termasuk juga kesesakan di setiap PDM,” kata beliau.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]