Bank Islam, Petronas, SJPP meterai MoU

in Bisnes by


BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor PETRONAS melalui Program Pembiayaan Vendor PKS.


Perjanjian berkenaan adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan.


Menandatangani bagi pihak PETRONAS ialah Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan, Samsudin Miskon dan Bank Islam diwakili oleh Ketua Perbankan Komersial, Abdul Rashid Abdul Hamid manakala SJPP pula di wakili oleh Pengurus Besar Kanannya, Chen Yin Heng.


Majlis menandatangani perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin dan Pegawai Utama SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi.


Khairul berkata, Bank Islam telah mengambil pendekatan realistik ke arah menghasilkan produk-produk berinovasi bagi memenuhi keperluan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


“Melalui kerjasama ini, kami dapat memberikan khidmat kepada ekonomi sebenar yang mana ia mewakili salah satu inisiatif pengantaraan berasaskan nilai kami serta menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perniagaan PKS di negara ini.


“Kami juga komited untuk memberi khidmat kepada perusahaan-perusahaan besar serta masyarakat, bagi menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan kesejahteraan sosial,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, PETRONAS, Mazuin Ismail berkata, PETRONAS memulakan kerjasama ini sebagai sebahagian daripada langkah yang diambil untuk mengekalkan ketahanan sektor OGSE Malaysia.


“Kami menghargai kerjasama yang dibuat dengan Bank Islam dan SJPP dan kami percaya ia akan mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh vendor OGSE.”


“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, SJPP, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, akan bertindak sebagai penyedia jaminan kredit. SJPP akan menyokong program ini dengan menyediakan lebih dari 70 peratus jaminan kredit kepada vendor-vendor PKS OGSE yang layak untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.


“Sebagai rakan kerjasama, peranan PETRONAS adalah untuk mempromosikan kemudahan pembiayaan ini kepada vendor PKS mereka, di samping mengesahkan kontrak dan maklumat vendor.


Dalam pada itu, Pegawai Utama SJPP Dr. Nungsari Ahmad Radhi, pula berkata, kerajaan komited membantu perniagaan-perniagaan PKS dan telah menyediakan bantuan secara berterusan dalam membangunkan PKS melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan, termasuk skim jaminan Kerajaan yang diurus oleh SJPP.


“Sehingga kini, sebanyak 15,780 PKS telah menerima manfaat daripada pelbagai skim di bawah SJPP. Kami mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana institusi kewangan dan pihak-pihak lain yang boleh menepati mandat kami untuk membantu sebanyak mungkin penggiat pasaran PKS kerana industri PKS disasarkan untuk menyumbang 41% kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020 seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk PKS.


“Bank Islam komited untuk menjadi sebahagian dari ekosistem kewangan dalam menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor OGSE. Kami berminat menyediakan pilihan pembiayaan kepada para vendor, sebagai salah satu daripada pelbagai cara yang boleh menambah nilai kepada sektor ini.


“Pihak Bank amat berbangga dengan pendekatan inovatifnya terhadap perkhidmatan pelanggan dengan menawarkan liputan rangkaian dan keupayaan yang paling luas untuk menyokong keperluan sektor OGSE.


“Program ini juga membantu promosi produk sedia adanya terutama kemudahan pembiayaan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan PKS untuk perolehan dan kontrak khusus mereka,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]