Berita palsu akan berleluasa: Tee Yong

in Edisi Johor by


LABIS – Tindakan pembangkang yang mahu memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar sekiranya mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan selepas PRU14 dilihat bagi membolehkan lebih banyak penyebaran berita palsu di negara ini.


Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, beliau juga melihat pendirian pembangkang yang mahu memansuhkan akta ini dan tidak menyokong ketika akta ini dibahaskan membuktikan pembangkang sering terlibat dengan penyebaran berita tidak benar.


“Dahulu sebelum pembubaran Parlimen, Lim Kit Siang pernah berkata bahawa BN akan luluskan akta ini apabila menjelang PRU14 bagi membolehkan kita dapat menang majoriti pada kali ini.


“Sedangkan kami (BN) yang sering kali menjadi mangsa berita tidak benar terutamanya di media sosial dan sebenarnya akta ini membela sama ada kerajaan atau pembangkang daripada menjadi mangsa berita tidak benar ini,” katanya.


Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Labis berkata kepada pemberita sewaktu majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Orang Asli Kudong di Dewan Kampung Kudong, di sini, semalam.


Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kelmarin, yang akan memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) memenangi PRU14.


Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan membawa masuk 60,000 warganegara Bangladesh untuk memastikan mereka mengundi kerajaan pada PRU14 ini.


“Isu ini (Bangladesh) sudah wujud sejak PRU13 dan jika benar kerajaan bawa mereka ini masuk, tak perlu saya dan calon-calon BN yang lain berkempen kerana kita sudah ada deposit tetap,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]