Dekad baharu Johor

in Edisi Johor by


BEBERAPA tahun kebelakangan ini, Johor kian menyaksikan pembangunan dan kemajuan yang rancak. Kini, Johor secara konsisten memasang impian untuk menjadi kuasa ekonomi baharu bagi Malaysia dan rantau Asia Tenggara.


Selari dengan itu, Johor kekal dibangunkan dengan sejahtera, secara seimbang malah inklusif.Dengan menzahirkan misi baharu iaitu Dekad Baharu Johor, kerajaan negeri BN pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu Johor membangun dan sejahtera untuk tempoh 10 tahun mendatang.


Menjadi hasratnya untuk melihat, dalam tempoh 10 tahun akan datang, negeri ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang radikal dengan peningkatan kesejahteraan rakyatnya.


Selain merealisasikan visi besar Johor Yang Berkemajuan, Dekad Baharu Johor menjanjikan pelbagai kelebihan dan peluang yang bakal terhidang pada masa akan datang.


Sedar atau tidak, secara berulang kali Menteri Besar memberitahu dalam masa 10 tahun akan datang, Johor bakal dibangunkan dalam skala yang besar.


Pembangunan dimaksudkan itu melibatkan aspek prasarana yang kemas, moden, terancang, terhubung sekali gus menggambarkan kedudukan Johor dalam abad ke-21.


Beruntungnya Bangsa Johor kelak khususnya generasi akan datang, dapat dinikmati manfaat daripada jaringan pengangkutan yang baik pada masa akan datang.


Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru-Singapura; Projek Landasan Kereta Berkembar Gemas-Johor Bahru, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura; Projek Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (BRT).


Apabila tiba masanya segala projek berimpak tinggi yang dilaksanakan ini dijayakan, Johor akan menjadi negeri yang mempunyai prasarana terbaik, komprehensif dan mapan.


Segalanya yang mula diusahakan pada hari ini, akan dinikmati oleh anak-anak Johor pada masa akan datang. Semua hasil akan dituai kelak.


Selain itu, Dekad Baharu Johor bakal menyaksikan perubahan drastik struktur ekonomi Johor di mana ia dipacu oleh idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi.


Kerajaan negeri pimpinan BN mahu melihat pertumbuhan ekonomi digital, ekonomi kreatif dan ekonomi hijau digalakkan dengan skala besar yang sekali gus memberi lonjakan baharu pada wajah ekonomi Johor.


Malah tempoh 10 tahun akan datang, Johor akan melalui transformasi sistem, budaya kerja, norma kehidupan kepada kerajaan dan masyarakat digital.


Johor akan menjadi sebuah negeri pintar malah kerajaan akan beroperasi dengan penggunaan data raya yang optimum.


Selain itu, Dekad Baharu Johor meletakkan soal kelestarian sebagai penanda aras setiap projek pembangunan di Johor disamping kesejahteraan dan kualiti hidup ditingkatkan.


Pendek kata, Johor sedekad dari sekarang akan terbangun sebagai negeri yang sangat berbudaya, Islami, mendukung dengan bangganya struktur masyarakat yang majmuk dan lebih erat perpaduannya.


Oleh itu, Mohamed Khaled selaku Pengerusi BN Johor berkata, Misi Membangun Dekad Baharu untuk Johor bakal menyaksikan lonjakan pembangunan Johor ke tahap radikal.


Menurutnya, Johor akan dibangunkan pada skala luar biasa kepantasan, saiz, magnitud dan impaknya.


“Sedekad akan datang, kita ingin melakarkan wajah baru untuk Johor. Sedekad akan datang, harapan kita ialah untuk menyaksikan era baru untuk Johor dan masyarakatnya.


“Insya-ALLAH, menjelang 2028, Johor akan menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia,” katanya.


Semua itu diutarakan Mohamed Khaled dengan rasa sangat bertanggungjawab, bukan sahaja untuk memastikan kejayaannya malah risiko kegagalan dilaksanakan secara sempurna.


Beliau sedar akan cabaran sebuah kepimpinan berdasarkan apa yang diutarakan, namun beliau enggan dirinya menjadi pemimpin yang selesa dengan ‘zero-risk situation’.


“Saya mesti berani tampil mencabar kelaziman dan mengambil apa jua risiko, untuk mencipta paradigma baru dalam perjalanan dasar pembangunan Johor.


“Tanpa paradigma baru, kita akan selamanya terperangkap dalam ‘zon keselesaan’. Zon yang selesa akan mewujudkan sikap anti kemajuan, anti akal dan anti ‘progress’,” katanya.


Atas sebab itu, beliau berkata, terperangkapnya dalam zon selesa hanya akan menjerumus kepada kerencatan potensi sebenar Johor dan masyarakatnya.


“Saya pastinya tidak akan memilih jalan yang selesa dan mudah seperti itu. Saya akan menjadi sangat tidak bertanggungjawab jika saya memilih ‘the linear route’.


“Maka kerana itulah, saya nekad memilih jalan ‘bukan linear’ untuk  Johor. Jalan di luar kelaziman. Jalan yang menuntut usaha besar dan penglibatan semua pihak,” katanya.


Pada masa sama, Mohamed Khaled mengakui betapa perlunya kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi merealisasikan Dekad Baharu Johor.


Sehingga kini, katanya, banyak sudah sokongan, bantuan dan perhatian yang diberikan kerajaan pusat BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kepada kerajaan negeri.


Beliau berkata, ia termasuklah menjadikan Johor sebagai destinasi dan lokasi pilihan kepada pelaksanaan pelbagai projek dan pembangunan berimpak tinggi.


Mohamed Khaled amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan pusat di atas dokongan yang diberikan malah percaya keakraban sedia terjalin penting untuk diperkukuhkan.


Ini kerana manfaatnya akan melimpah ruah kepada rakyat dan negara ini. Lebih penting, Misi Membangun Dekad Baharu untuk Johor akan dapat direalisasikan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]