Itali gagal bentuk kerajaan gabungan

in Global by


ROM- ITALI. Rundingan kerajaan gabungan di Itali telah gagal, sekali gus negara itu mungkin bakal berdepan pilihan raya baharu atau ditadbir kerajaan sementara berkecuali hingga akhir tahun ini.


Semalam, Presiden Sergio Mattarella berkata, hanya terdapat dua pilihan yang tinggal selepas rundingan pusingan ketiga tidak mencapai sebarang kata putus.


Parti tunggal terbesar, gerakan Lima Bintang dilaporkan enggan menyertai mana-mana pakatan sama ada dengan pakatan berhaluan kanan, Forza Italia dan Liga atau bersama parti berhaluan sederhana, parti Demokratik.    


Difahamkan, tiada parti tunggal atau pakatan memenangi majoriti dalam Pilihan Raya Umum pada 4 Mac lalu.


Menurut Mattarella, parti paling berpengaruh seperti Lima Bintang dan Liga bagaimanapun menyokong pengundian baharu pada Julai depan.


Beliau turut menggesa kesemua pemimpin parti supaya menyokong ‘kerajaan neutral’ selepas gagal membentuk kerajaan gabungan.


“Kita tidak boleh tunggu lagi. Biar parti buat keputusan sama ada mereka harus memberi kuasa penuh kepada kerajaan atau pilihan raya baharu bakal berlangsung pada Julai depan atau pada musim gugur,” ujarnya ketika berucap menerusi kenyataan disiarkan stesen TV.


Jelasnya, pentadbiran neutral bertanggungjawab membuat bajet 2019 untuk mengelakkan ‘kesan kemelesetan’ yang mungkin berlaku ketika kenaikan cukai jualan dijangka pada akhir tahun. – BBC


Source: SH Global

[featured-video-plus]