‘Jangan tuduh kami buat’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Jangan tuduh kita buat, sebab kita langsung tak sentuh pun,” tegas calon Harapan Negeri Sembilan bagi Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.


Beliau berkata demikian bagi menepis tohmahan pihak tertentu kononnya DAP yang menurunkan bahan berkempen parti lawan untuk PRU14 dalam kawasan Parlimen berkenaan.


Sebaliknya berdasarkan maklumat daripada wakil mereka dalam Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihanraya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Lee Kai Yet, kata beliau, jelas sekali mereka tidak terlibat.


“Kita dituduh buka 10 bahan berkempen mereka. Tapi bila kita siasat dengan SPR, sebenarnya SPR yang buka dan turunkan.


“Itu pun empat bahan berkempen saja dan bukannya banyak macam digembar-gemburkan. Puncanya sebab tak ikut peraturan ditetapkan,” katanya.


Mengulas lanjut, kata Kee Chin, lokasi terlibat pula di Kampung Mambau, Taman Yoon Chan, Taman Thivy Jaya, berhampiran Perodua Rasah dan Jalan Rasah Kampung Batu 3.


“Antara kesalahan dikenal pasti, bahan berkempen dipasang tak ada logo parti dan nama syarikat yang mencetak.


“Bila timbul sebarang masalah, pada siapa SPR nak hubungi nanti? Ini sama sekali melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.


Selain itu, kata beliau, ada bahan berkempen didapati berbaur hasutan dan boleh cetuskan permusuhan dalam kalangan masyarakat.


“Kemudian, ada bahan berkempen diturunkan sebab lokasinya tak sesuai dan boleh mengganggu orang ramai,” katanya pada sidang media di sebuah restoran makan segera di Seremban 2, di sini, semalam.


Justeru, beliau menggesa agar pihak terbabit berhenti berbuat demikian kerana tindakan sebegitu disifatkan tidak profesional.


“Jangan main tuduh kerana sebagai manusia, kita perlu cermin diri dulu. Bila kita tuding satu jari pada orang lain, selebihnya kena balik pada kita.


“Misalnya macam berlaku di Mambau, ingat calon kita dah tak ada kerja lain nak buat?,” soalnya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]