MTUC mahu 14 juta pekerja undi Harapan

in Politik by


SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa 14 juta pekerja di seluruh negara mengundi Pakatan Harapan pada PRU14, esok.


Memetik laporan MalaysiaKini, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, dengan mengundi Harapan ia akan menghantar mesej kepada pekerja bahawa mereka adalah kunci kepada ekonomi negara dan tidak seharusnya diabaikan.


“Pekerja mempunyai kuasa tidak mengundi kerajaan anti pekerja dan kleptokratik kerana suara dan kekuatan pekerja sangat berkuasa.


“Kami mahukan kerajaan memberi penghormatan sama terhadap kami dalam perjanjian tiga pihak, agar pekerja mempunyai saham sama dalam kekayaan negara. Gaji pekerja ketika ini rendah dan golongan itu semakin miskin dalam situasi yang ditekan kenaikan kos hidup serta GST,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, 75 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan cukup untuk menampung lebih dari tempoh seminggu tidak bekerja dan 18 peratus pencarum KWSP akan hidup di atas garis kemiskinan selepas bersara.


Katanya, Kesatuan pekerja diperlukan untuk meningkatkan sosia-ekonomi pekerja, namun di Malaysia, mereka ditekan oleh undang-undang kuno yang tiada tanda akan dimansuhkan.


”Rayuan kami kepada kerajaan untuk mengubah dan memperbaiki undang-undang itu tidak didengar, sebaliknya apabila ia melibatkan kepentingan mereka yang berkuasa, undang-undang seumpamanya diperkenalkan dengan cepat untuk melindungi kepentingan mereka,” katanya.


Tambah Solomon, malah Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya juga gagal memberi jawapan rayuan MTUC berhubung pelbagai isu pekerja.


Dalam perkembangan lain, Solomon juga mengulas bahawa, tiga juta peluang pekerjaan dijanjikan BN dalam manifestonya baru-baru ini tidak jelas kerana tidak menyatakan peluang pekerjaan itu untuk warga tempatan atau pekerja asing dari China.


Menurutnya, janji 1.5 juta pekerjaan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 sehingga kini belum dipenuhi.


Selain itu, Solomon mendakwa, kerajaan juga masuk campur dalam pengurusan MTUC menyebabkan perpecahan di dalam kepimpinan kesatuan itu.


”Hak asasi manusia dan pekerja hanya disebutkan dalam silibus pendidikan untuk pelajar, malah graduan universiti tidak tahu hak asas mereka,” katanya.


Menurutnya, Harapan perlu diberi peluang berkhidmat untuk rakyat Malaysia untuk lima tahun seterusnya dan sekiranya mereka gagal seperti yang dijanjikan, rakyat boleh menukar kerajaan dalam PRU seterusnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]