Pengundi Wangsa Maju perlu rasional pilih pemimpin

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Menjelang ketibaan proses membuang undi dalam tempoh kurang 24 jam lagi, rakyat khususnya pemilih di kawasan Wangsa Maju diseru agar melaksanakan tanggungjawab dan hak mereka memilih pemimpin yang mampu menjaga kepentingan rakyat dan negara.


Calon BN Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yew Teong Look berkata, rakyat perlu menilai dengan rasional serta berpandukan fakta dan bukannya berdasarkan slogan dan manifesto yang belum pasti mampu dilaksanakan.


“Warga Wangsa Maju yang dikasihi, esok 9 Mei 2018 adalah tarikh penting negara. Hari yang akan menentukan hala tuju negara untuk tempoh lima tahun ke hadapan.


“Oleh itu, saya menyeru pengundi-pengundi Wangsa Maju berfikir secara matang, menilai dengan rasional dengan fakta sebelum membuat keputusan penting kerana ia mementukan masa depan negara.


“Lima tahun bukan tempoh yang singkat, pilihan raya umum bukannya perjudian nasib. Jangan tepengaruh dengan slogan ubah, usah terpesona dengan harapan palsu yang belum tentu menjanjikan sinar bahagia,” katanya menerusi kenyataan media.


Teong Look menyeru agar rakyat terus sandarkan kepada BN yang sudah terbukti jasanya kepada rakyat dalam usaha menjaminkan kesejahteraan hidup rakyat sejak zaman berzaman.


Menurutnya, sepanjang pemerintahan BN sebelum ini telah terbukti berjaya mendatangkan pelbagai hasil kejayaan, bukan sekadar retorik atau cakap kosong.


“Wangsa Maju dengan saya tidak asing, saya pernah diangkat sebagai wakil rakyat kawasan ini pada PRU12 dengan sokongan padu dan saya masih berkhidmat sejak 15 tahun lalu buat rakyat kawasan ini.


“Sekali lagi, saya menyeru dan merayu pengundi Wangsa Maju yang dikasihi, saya diamanahkan parti untuk bertanding kerana ingin berkhidmat kepada rakyat. Tiada lain, melainkan untuk kepentingan rakyat. Oleh itu saya memohon agar berikan peluang dan ruang untuk saya berkhidmat dengan memenangkan BN di Wangsa Maju.


“Tidak kira apa juga bangsa, agama mahupun ideologi politik, saya memohon sokongan anda untuk kesejahteraan rakyat bagi Wangsa Maju yang lebih baik. Saya sedia menjadi hamba kepada anda,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]