Sangkal dakwaan akan beri wang kepada pengundi

in Uncategorized by


SERI MANJUNG – Calon kerusi Parlimen Lumut dan Dun Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan beliau akan memberi sumbangan wang kepada pengundi yang dikatakan akan diserahkan di kediamannya petang ini.


Menurutnya, perkara itu menjadi bahan bualan orang ramai sehingga menimbulkan pertanyaan semua pihak.


“Satu lagi perkara jahat atau permainan kotor pembangkang adalah dengan menyebarkan maklumat yang mengatakan saya akan memberi sumbangan wang kepada pengundi yang bertempat di kediaman saya petang ini.


“Ini adalah satu tindakan jahat yang cuba untuk mencemarkan proses pilihanraya esok,” katanya dalam sidang media sebelum perjumpaan khas dengan jentera pilihanraya Parlimen Lumut hari ini.


Zambry berkata, perkara itu adalah bertujuan untuk mewujudkan suasana hingar-bingar sebelum hari mengundi esok.


“Apabila orang ramai mendapat maklumat ini secara tidak langsung mereka sendiri akan menggerakkan orang ramai untuk datang ke rumah saya dan mewujudkan suasana hingar-bingar.


“Mereka (pembangkang) akan ambil gambar sebelum menyebarkannya bagi tujuan mencemarkan proses pilihan raya.


“Saya harap pengundi jangan percaya dengan langkah terdesak ini,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]