'Semua janji bukan boleh ditunai sekelip mata'

in Politik by


KUALA NERANG – Calon BN untuk Dun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim yakin akan dapat mempertahankan kerusinya itu pada PRU14.


Menurutnya, beliau sentiasa mendapat sokongan padu daripada pengundi di situ ketika turun padang apatah lagi bagi mengekalkan kerusinya di Dun itu nanti.


Katanya, pengundi sekarang sudah bijak menilai segala usahanya dalam mempertingkatkan taraf hidup masyarakat di Dun Kuala Nerang selama ini.


“Sepanjang lima tahun saya berkhidmat sebagai wakil rakyat di sini, banyak pembangunan serta kemudahan asas ditingkatkan berbanding sebelum ini. Boleh dikatakan 95 peratus segala janji saya kepada penduduk di Kuala Nerang ditunaikan.


“Ini terbukti dengan bekalan air serta kemudahan asas yang diberi kepada penduduk di Kuala Nerang hari ini. Bagaimanapun saya tidak menafikan masih ada lagi beberapa kampung yang mempunyai masalah air.


“Masalah itu masih berlaku seperti di Kampung Perik dan saya berjanji akan menunaikannya nanti. Memang saya tidak dapat menunaikan sepenuhnya tetapi dengan usaha selama ini mereka dapat menilainya,” katanya.


Badrol Hisham berkata, berbanding dahulu, Kuala Nerang adalah lebih baik dengan segala kemudahan yang dicapai pada hari ini.


Mengenai pembangunan Bandaraya Getah yang dijanjikan dahulu, kini semuanya sudah dapat diselesaikan selepas proses pengambilan serta pembayaran tanah dapat dilakukan, baru-baru ini.


“Semua usaha yang saya lakukan untuk penduduk Kuala Nerang bukan semuanya boleh dilakukan dengan sekelip mata sahaja. Contohnya kes tanah untuk pembinaan Bandaraya Getah ini memerlukan pelbagai proses bagi meluluskannya.


“Alhamdulillah, kini proses itu berjaya dan pemilik tanah akan mendapat bayaran sewajarnya. Jika Bandaraya Getah dibina nanti sudah pasti anak muda di daerah ini dapat menampung peluang pekerjaan di situ.


“Oleh itu masalah pengangguran yang dilaungkan pembangkang selama ini dapat diatasi dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi taraf hidup penduduk di Dun ini nanti,” katanya.


Menurut Badrol Hisham, manifestonya kali ini turut mementingkan perumahan kepada penduduk di situ supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna lagi.


Katanya, sebelum ini juga beliau sudah berusaha membawa Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Nerang ini.


“Saya akan meningkatkan lagi dengan beberapa agensi kerajaan supaya lebih banyak kawasan perumahan dibina di Dun ini nanti. Inilah antara perjuangan saya kepada penduduk di Kuala Nerang ini dan yakin pembangkang tidak mampu membawa pembangunan seperti ini jika mereka memerintah,” katanya.


Menurut Badrol Hashim, sebagai daerah yang penduduknya aktif dalam pertanian, sudah sampai masanya mewujudkan ‘Petani Jaya’ melalui transformasi program pertanian di Dun itu nanti.


“Saya yakin pengalaman anak muda dalam bidang pertanian perlu ditonjolkan supaya bakat mereka itu diketengahkan. Kini Dun ini mempunyai pelbagai aktiviti pertanian dan saya berjanji akan mengangkat lagi aktiviti ini menjadi perniagaan supaya taraf hidup petani di sini dapat ditingkatkan,” katanya.


Sepanjang musim pilihan raya ini, beliau berharap semua parti yang bertanding dapat berkempen dengan berhemah dan tidak menyerang peribadi atau melemparkan sebarang fitnah seperti yang ditegah dalam agama Islam sendiri.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]