‘Terima kasih Tok Mat’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Terima kasih pada Tok Mat. Kalau beliau tak sebut, saya pun tak dapat nak jawab. Saya berbesar hati kerana Tok Mat beri peluang ni,” ujar Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.


Demikian respons beliau terhadap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra disapa dengan panggilan Tok Mat, berhubung dakwaannya bahawa tindakan DAP guna logo PKR pada PRU14 dilihat memakan diri.


Secara tidak langsung, kata Kee Chin, pihaknya dapat lebih ruang untuk menjelaskan isu berkenaan kepada orang ramai khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang sudah terbiasa dengan logo DAP.


“Sebab kalau benda ni tak timbul, tiba-tiba kita nak ulas pun payah juga. Nanti orang akan pertikaikan seolah-olah kita macam syok sendiri atau rasa tak yakin.


“Sebab tu saya ucapkan terima kasih dan nak beritahu Tok Mat, saya tak marah (dalam hal ni). Tambah lagi selepas ni, kita dah tak dapat nak jumpa dalam Sidang Dun.  


“Kita pun faham, Tok Mat dalam tempoh sembilan hari (berkempen) ni agak berkelapangan. Jadi, beliau kena fikirkan isu tertentu,” katanya.


Justeru beliau yang juga merupakan calon Harapan Negeri Sembilan bagi Parlimen Rasah, meminta Tok Mat agar tidak ‘gusar’ dengan situasi itu.


“Terima kasih kerana beliau ‘bimbangkan’ kita. Tapi saya lebih ‘bimbang’ Umno dan BN akan jadi pembangkang selepas PRU14.


“Maka Tok Mat tak perlu ‘bimbang’. Kamu buat kerja kamu, dan saya buat kerja saya,” katanya pada sidang media di sebuah restoran makanan segera di Seremban 2, di sini, semalam.


Menurut Kee Chin, keyakinan dalam isu berkenaan berlandaskan maklum balas diterima melalui tinjauan dan pemerhatian dilakukan sejak beberapa hari lalu.


“Macam semalam (kelmarin), saya pergi (melawat) lebih 10 tempat khususnya melibatkan masyarakat bukan Melayu.


“Rata-ratanya beri sokongan malah ada yang cakap pada saya, kali ni tak guna (lambang) roket tapi (lambang) mata.


“Saya juga difahamkan, penduduk di luar bandar pun tahu perkara ni. Jadi dalam minggu ni, dah tak payah nak terangkan lagi,” katanya.


Sehubungan itu kata beliau, desas-desus mengatakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang arahkan seluruh jentera pilihan raya guna logo roket bersama logo PKR pada saat akhir berkempen, sama sekali tidak benar.


“Sekarang ni tempoh berkempen tinggal lebih kurang 38 jam. Bayangkan kalau dapat arahan macam tu hari ni (semalam), mesti lagi panik dan menyusahkan dibuatnya.


“Bagi saya, semua ni tohmahan yang tak berasas. Kepada pengundi, jangan dengar sebab tak betul semua tu,” katanya.


Sebelum ini media melaporkan, Mohamad berkata, beliau dimaklumkan ada bendera DAP dinaikkan termasuk dalam program ceramah parti terbabit.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]