Calon BN, Pas mengundi di pusat mengundi sama

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU – Dua calon berlainan parti yang juga mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu Datuk Rosol Wahid (BN) dan Maliaman Kassim (Pas) membuang undi di lokasi sama iaitu Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan(SK) Bukit Diman, di sini, hari ini.


Rosol yang merupakan calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu tiba di pusat berkenaan kira-kira jam 7.45 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawab jam 8.05 pagi sekaligus menjadi pengundi pertama membuang undi di pusat berkenaan.


Maliaman, calon Pas kerusi N24 Ajil mengenakan baju berwarna hijau sampai di pusat mengundi sekitar jam 8.20 minit pagi dan selesai membuang undi lebih kurang 10 minit kemudian.


Menurut Rosol, beliau tiba awal untuk laksanakan kewajipan mengundi sebelum meninjau suasana perjalanan proses membuang undi di keseluruhan pusat mengundi dalam Parlimen Hulu Terengganu.


“Saya menjadi orang pertama buang undi di sini dan biasanya dalam PRU sebelum ini, sewaktu hayat ayahanda masih ada beliaulah yang selalu jadi pengundi pertama mengundi di sini.


“Hari ini, saya pula jadi orang pertama dan sekurang-kurangnya dapatlah saya teruskan segala yang pernah dilakukan oleh arwah ayahanda dulu,”katanya ketika ditemui Sinar Harian di SK Bukit Diman, di sini.


Sementara itu, Maliaman berkata dia bersyukur kerana selesai mengundi dengan lancar dan pengalaman pada PRU14 kali ini tentunya berikan kelainan tersendiri baginya kerana kali ini beliau bukan sahaja pengundi tetapi juga calon.


“Kalau dulu selepas buang undi, boleh pulang ke rumah atau ke mana-mana tetapi kali ini suasana berbeza kerana sebagai calon saya perlu tinjau dan berjumpa pengundi di seluruh pusat mengundi dalam Dun Ajil ini,”ujarnya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]