Harap keputusan memihak kepada Pas

in Edisi Selangor KL by


KAPAR – Calon Pas Dun Meru, Noor Najhan Mohd Salleh berharap keputusan pada malam ini akan memihak kepada Pas selepas tsunami perubahan yang berlaku pada proses pengundian di Meru dan seluruh negara hari ini.


Menurutnya, pihaknya menaruh harapan agar Pas berjaya mentadbir Selangor seterusnya menjadi Kingmaker di peringkat kerajaan Pusat.


“Saya berharap malam ini SPR mengumumkan Pas berjaya menguasai Selangor dan juga peringkat pusat.


“Peningkatan jumlah pengundi yang dilihat bukan sahaja di Meru bahkan di seluruh negara membuktikan rakyat mahukan perubahan kepada kerajaan yang lebih baik,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapar Indah, Sementa di sini, sebentar tadi.


Pada masa sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar itu berkata, sudah sembilan pusat pengundian dilawatinya dan akan menghabiskan tiga lagi sebelum selesai proses pengundian jam 5 petang.


“Terdapat 12 pusat pengundian keseluruhannya di Dun Meru.


“Sebentar lagi kira-kira jam 3.30 petang saya juga akan mengundi bersama isteri, Rohaliza Farhan, 43, di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru, Meru,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]