Harapan mahu menghadap Sultan Perak

in Uncategorized by


IPOH – Harapan Perak akan memohon perkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.


Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pemimpin pakatan tersebut akan memohon perkenan Sultan untuk membentuk kerajaan negeri yang baru di Perak.


Menurutnya, beliau gembira dengan perkembangan Harapan yang mempunyai kerusi Dun paling banyak jika dibandingkan dengan BN dan Pas.


“Kita berjaya mendapat majoriti paling banyak iaitu 29 kerusi Dun dan secara umumnya Harapan berjaya menawan Perak daripada BN.


“Pemimpin kami akan memohon perkenan untuk tubuh kerajaan dan mendapat sembah nasihat daripada baginda,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas selepas keputusan pilihan raya di Perak diumumkan, awal pagi tadi.


Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya kemungkinan bakal berlaku sekiranya Pas membentuk kerajaan campuran bersama BN di Perak.


“Kami tidak akan membincangkan kemungkinan apa yang bakal berlaku esok. 


“Apa yang penting, para pemimpin Harapan Perak akan menghadap Tuanku Sultan di istana baginda terlebih dahulu,” ujarnya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]