Kesal peti undi silap label

in Politik by


KUALA KRAI – Penyokong PKR di sini mendakwa berlaku kesilapan label pada peti undi Dun dan Parlimen di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah.


Calon PKR Dun Guchil, Mohd Roslan Puteh berkata, beliau yang dimaklumkan perkara itu menerusi panggilan telefon oleh penyokongnya segera ke sekolah berkenaan.


“Saya dimaklumkan berlaku sedikit kesilapan apabila pengundi tertukar meletakkan kertas undi Dun dan Parlimen.


“Perkara ini telah menyebabkan pengundi keliru apabila kertas undi Dun diletak dalam kotak Parlimen dan sebaliknya kertas undi Parlimen dimasukkan ke kotak undi Dun,” katanya.


Menurutnya, kesilapan dikesan pada saluran dua pusat mengundi berkenaan dan beliau menggesa supaya pemeriksaan dilakukan di pusat pengundian lain bagi memastikan tidak ada kesilapan serupa.


“Saya telah membuat perbincangan dengan pihak SPR, walaupun ada sedikit kesilapan, tetapi pengundian berjalan lancar.


“Cuma saya kecewa perkara ini berlaku kerana boleh merosakkan kredibiliti SPR, tetapi tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kesilapan ini,” katanya yang membuang undi di Kolej Vokasional Kuala Krai kira-kira jam 12.30 tengah hari.


Penyandang kerusi Dun Guchil itu berkata, kesilapan tersebut boleh menyebabkan kelewatan proses pengiraan undi.


“Pegawai SPR terpaksa membuat pengasingan terlebih dahulu, sebelum mengira kertas undi.


“Ketika ini, macam-macam boleh berlaku,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi SPR Kuala Krai, Tengku Azmi Tengku Jaafar mengesahkan terdapat sedikit kesilapan pada peringkat awal, tetapi masalah itu berjaya diselesaikan.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]