Noh Omar menang lagi!

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG – Calon BN Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berjaya mengekalkan kerusi buat enam penggal berturut-turut meskipun berdepan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 kali ini.


Noh yang meraih 17,596 undian itu menang dengan 1,970 majoriti manakala lawannya, calon Pakatan Harapan (Harapan), Kapten (B) Datuk Dr Zulkaferi Hanapi hanya meraih 15,626 undian dan calon Pas, Nor Az Azlan Ahmad pula hanya 7,276 undian.


Manakala calon BN Dun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak gagal mengekalkan kedudukannya selepas ditewaskan lawannya, Rozana Zainal Abidin (Harapan) dengan majoriti 1,158 undian.


Calon wanita tunggal Harapan itu meraih undian sebanyak 9,208 undian


manakala Sulaiman hanya meraih 8,050 undian dan calon Pas bagi Dun Permatang, Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas) hanya meraih 2,746 undian.


Bagi Dun Sungai Burong pula, calon BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias berjaya mengekalkan kubu kuat Umno itu untuk empat penggal berturut-turut selepas meraih 8,741 undian.


Bekas pegawai daerah itu menang dengan 2,330 majoriti undian sekali gus menewaskan lawannya, Mohd Zamri Mohd Zainuldin (Pas) dengan 6,411 undian manakala Mohd Tarmizi Lazim (Harapan) hanya meraih 5,323 undian.


Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Tanjong Karang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor kira-kira jam 1 pagi selepas selesai pengiraan kesemua kertas undi.


Merujuk rekod Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), seramai 47,198 pemilih berdaftar keluar mengundi untuk Parlimen Tanjong Karang untuk PRU14 kali ini berbanding 42,333 pemilih pada PRU13 lalu.


Pada PRU13 lalu, Noh yang juga Pengerusi BN Selangor itu menang dengan 20,548 undian dengan majoriti 4,394 undian menewaskan calon Pas, Allahyarham Mohamad Rashdi Deraman yang meraih 16,154 undian.


Rozana ketika ditemui melahirkan kesyukuran terhadap kemenangan Harapan di peringkat Dun Permatang meskipun kerusi Parlimen Tanjong Karang dan Dun Sungai Burong masih gagal ditembusi.


“Kejayaan ini berkat sokongan semua dan kerja keras jentera PKR Cabang Tanjong Karang dan saya akan berkhidmat sebaik mungkin untuk membawa perubahan untuk Dun Permatang.


“Saya akan bawa isu berkaitan tanah yang dibangkitkan penduduk di Dun Permatang dalam sidang Dun nanti dan memberikan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]