PDRM, MCMC jalin kerjasama tangani serangan ‘bots’

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung serangan ‘bots’ yang mengganggu talian komunikasi pemimpin-pemimpin kerajaan serta parti politik.


Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata serangan ini dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan ketenteraman proses mengundi PRU14.  


“PDRM dan MCMC sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Hari ini, antara yang mendakwa menerima panggilan tidak berjawab daripada nombor luar negara ialah Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azalina Othman Said serta pemimpin pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Tian Chua.


Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sesuatu laporan berita yang tidak sahih atau ditularkan dalam media sosial berkaitan keputusan PRU14.


Mohamad Fuzi berkata pelbagai laporan berita palsu akan dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kegusaran awam pada PRU14 ini.


Beliau meminta orang ramai menyemak terlebih dahulu kesahihan sumber dan fakta sebenar sebelum mempercayainya atau menyebarkan sesuatu berita itu.


Katanya, masyarakat hari ini perlu lebih bijak menilai setiap kesahihan berita yang dikeluarkan mana-mana pihak serta mendapatkan pengesahan.


“Kalau mereka terus percaya dan sebagainya, ini sudah tentu akan mempengaruhi sentimen dan persepsi rakyat terhadap perkara tidak benar daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]