Pembonceng maut jatuh tertidur atas motosikal

in Edisi by


KOTA BHARU – Seorang pembonceng maut terjatuh dipercayai kerana tertidur atas motosikal yang ditunggang rakannya dalam kejadian di Jalan Tok Guru berhampiran Kem Tentera 8 Briged, Pengkalan Chepa, pagi tadi.


Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Muhamad Firdaus Anuar, 19, dipercayai terjatuh ke besi pengadang jalan sebelum jatuh ke jalan dan maut di tempat kejadian.


Motosikal ditunggang Syawalrudin Derahman, 22, turut terbabas menyebabkan dia juga terjatuh, namun hanya cedera ringan.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, semasa kejadian dua rakan itu menaiki motosikal jenis Demak dari arah Taman Bendahara menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.


“Semasa tiba di lokasi kejadian bergampiran Kem Tentera 8 Briged di sini, Muhamad Firdaus dikatakan tertidur dan terjatuh ke besi penghadang jalan sebelum terjatuh ke atas jalan.


“Sebelum terjatuh itu, pembonceng dikatakan sempat menarik rakannya yang menunggang motosikal. Rakannya juga terjatuh dan mengakibatkan motosikal itu terbabas,” katanya ketika dihubungi.


Ismail berkata, remaja berusia 19 tahun itu maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala rakannya hanya mengalami kecederaan ringan.


“Mayatnya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.


“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]