Presiden Pas zahirkan rasa syukur

in Politik by


MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menzahirkan rasa syukur apabila kempen yang dijalankan sebelum ini berjalan lancar dalam suasana aman dan tenteram.


Beliau yang tiba awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini, berkata, pihaknya telah mengarahkan supaya pengikut-pengikut Pas supaya bertenang dan beradab dalam berkempen.


Menurutnya, ia selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkan parti berkenaan dan dapat dilaksanakan melalui pendekatan itu dengan sebaik-baiknya sebelum ini.


“Kita elakkan daripada (berlaku) pertembungan yang tajam, boleh berbeza pendapat tetapi tidak boleh…melukakan pada masyarakat. Sama ada menang atau kalah kita terima hakikat.


“Rakyat yang membuat keputusan kita terima. Jangan kita buat sesuatu yang menyusahkan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di sekolah berkenaan, hari ini.


Abdul Hadi yang juga calon Pas di Parlimen Marang turut meluangkan masa bersama pengundi di luar pusat mengundi berkenaan selepas selesai membuang undi kira kira jam 8.15 pagi.


Turut mengundi di sekolah yang sama calon Pas Dun Batu Burok yang juga merupakan anaknya, Muhammad Khalil.


Sementara itu, orang ramai yang ditemui mengakui lega dan berpuas hati dengan kelancaran proses membuang undi tanpa ada sebarang provokasi atau insiden yang tidak diingini sehingga tengahari ini.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]