Sakit tidak halang keluar mengundi

in Edisi Terengganu by


JERTIH-  Walaupun mengalami masalah lumpuh sebelah badan, namun semangat mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi mendorong seorang bekas tukang kebun sekolah keluar menunaikan tanggungjawabnya.


Mohamad Jusoh, 57, dari Kampung Alor Lintah tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Lintah kira-kira jam 10.55 pagi tadi dengan dibantu isterinya, Zaini Hassan, 53.

Mohamad tiba di pekarangan pusat membuang undi pagi tadi.


Menurutnya, sudah 12 tahun dia diserang stroke (angin ahmar) dan dalam tempoh itu sudah tiga kali dia keluar  mengundi bermula dari PRU12.


“Ketika mengundi pada PRU12 keadaan saya lagi teruk, memang tidak boleh berjalan langsung dan bergerak hanya dengan kerusi roda sahaja berbanding sekarang oleh berjalan sikit-sikit.


“Walaupun susah tetapi saya bersemangat untuk mengundi kerana ia merupakan tanggungjawab saya sebagai rakyat kepada negara,” katanya bekas tukang kebun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah.


Sementara itu Muhammad Ikram Asfa, 24, yang patah kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bulan lalu juga tidak mahu melepaskan kali pertama mengundi.


Menurutnya, dia yang terbabit dalam kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggangnya menyebabkan dia terlantar di rumah akibat kecederaan yang dialami.


“Walaupun terpaksa bertongkat dan berjalan sebelah kaki tetapi saya tetap mahu keluar mengundi kerana ini adalah pengalaman pertama saya mengundi dan sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memilih pemimpin,” katanya yang membuang undi di SK Bukit Puteri, Kampung Tok Has.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]