Sanggup jalan kaki pergi mengundi

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM –  Bekas pesara kerajaan,  Norinah Jailani,  63,  bersama tiga anak perempuannya bersemangat keluar awal dengan berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk mengundi di pusat mengundi Sekolah Seksyen 18, di sini, hari ini.


Beliau ketika ditemui berkata, apabila berjalan kaki beramai-ramai lebih seronok,  tambah lagi hendak pergi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.


“Semua pilihan raya sebelum ini memang mak cik undi di sini dan kali ini lebih seronok apabila dapat pergi bersama anak-anak.


“Kita keluar rumah dalam jam 7.15 pagi dan sampi sini kira-kira 15 minit kemudian… dapat juga ‘exercise’ sambil kita nak pergi mengundi,” katanya.


Norinah bersama empat anaknya iaitu Norsyafawati Ahmad Zabidi, 36, Hafizah, 34, Muhammad Syahir Ahmad dan Nurul Afiqah, 24,  selesai mengundi kira-kira jam 9 pagi tadi.


Sementara itu,  seorang lagi pengundi, Normadiah Mat Amin, 56, yang ditemui berkata,  beliau sudah beratur menunggu giliran mengundi di saluran dua lokasi sama hampir dua jam.


Dia yang juga seorang pengurus kantin di sebuah sekolah di Pelabuhan Klang berkata, kebiasaannya pada tiga PRU lalu dia dan suami datang pada waktu sama dan tidak mengambil masa yang lama untuk mengundi.


“Tapi PRU kali ini memang berbeza… nampak lebih ramai pengundi keluar mengundi dan itu mungkin antara sebab kenapa hari ini terpaksa beratur panjang dalam tempoh lama.


“Penat juga sebab kena tunggu lama tapi ini tanggungjawab kita,  jadi mak cik akan tunggu sehingga selesai mengundi, ” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]