Semangat mengundi ke-14

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Siapa sangka usia mencecah 108 tahun tidak menghalang seorang warga emas untuk terus menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU ini untuk kali ke-14.


Lebih manis, warga emas itu, Ng Lai Tiu yang berasal dari Lubuk Buntar, Kedah langsung tidak pernah melepaskan peluang mengundi sejak pilihan raya umum Tanah Melayu pertama pada 1955.


Anaknya, Ng Ngah Chai, 70, berkata, dengan usia mencecah 108 tahun, bapanya itu dipercayai merupakan pengundi PRU14 tertua di Parlimen Kulim Bandar Baharu.


Menurutnya, setiap kali menjelang pilihan raya umum, bapanya itu amat bersemangat sehingga pernah dipapah anak-anak semata-mata untuk pergi ke pusat pengundian berhampiran rumah mereka di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Pei Chai, Lubuk Buntar dekat sini.


“Bab mengundi, bapa saya amat ambil berat sehinggakan kami adik-beradik pernah dimarahinya hanya disebabkan lewat keluar mengundi.


“Bapa menganggap tanggungjawab mengundi sangat penting kerana tugasan itu membolehkan rakyat menentukan kepimpinan negara yang benar-benar memberi kesejahteraan kepada mereka,” katanya sewaktu ditemui media bersama ayahnya di premis niaga di Pekan Lama, semalam.


Ngah Chai berkata, di sebalik komitmen tinggi ayahnya dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi PRU, bapanya itu tidak bergiat aktif dalam parti politik.


Lebih membanggakan, sehingga kini bapanya mampu untuk hadir sendiri ke pusat mengundi meskipun fizikalnya agak uzur berbanding kondisi sewaktu PRU13.


“Bapa sering nasihatkan penduduk kampung terutama golongan muda untuk tunai tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak culas,” katanya.


Sementara itu, Lai Tiu mahu kesemua 160 anak cucunya pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.


Menurutnya, tanggungjawab mengundi pada PRU14 adalah kewajiban bagi setiap rakyat Malaysia dan dia menyeru pengundi menunaikan amanah diberikan.


“Dengan usia tua begini, saya tidak kenal siapa calon, cuma boleh cam logo (parti).


“Undi saya adalah rahsia, cuma bila harga barang naik, banyak orang kampung marah kerana terbeban (dengan keadaan itu). Saya minta rakyat dapat buat pilihan terbaik esok (hari ini),” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]