Tun M sedia jadi perdana menteri atau ketua pembangkang

in Politik by


LANGKAWI – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia menjadi perdana menteri ketujuh atau ketua pembangkang baharu.


Beliau membayangkan jika Pakatan Harapan (Harapan) berjaya membentuk kerajaan mereka bersedia  sepenuhnya untuk merealisasikan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat.


“Kalau kami (Harapan) menang kami dah sedia untuk membuktikan manifesto yang telah dibentang dalam tempoh masa lima tahun itu.


“Tapi 10 kelainan baharu akan ditampilkan oleh Harapan. Itu akan dilaksanakan segera,” katanya ketika sidang media di sini, petang ini.


Bagaimanapun, Mahathir menegaskan untuk perancangan jangka panjang, perkara utama yang akan dibereskan ialah menguruskan kewangan negara.


“Untuk jangka masa panjang, kita akan uruskan kewangan negara, banyak perkara nak tukar,” jelasnya.


Calon Parlimen Langkawi itu menyatakan sekiranya Harapan beroleh kemenangan dua pertiga majoriti, Perlembagaan Negara akan diubah bagi mengurangkan kuasa perdana menteri.


“Kami akan cuba ubah Perlembagaan Negara jika dapat dua pertiga majoriti.


“Kuasa lantikan sesetengah pegawai kanan akan diubah, ia bukan lagi sepenuhnya atas lantikan oleh perdana menteri sebaliknya nama-nama pegawai kanan ini akan diundi di Parlimen,” kata Mahathir.


Namun, beliau bersedia juga jika menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.


“Kalau menang di Langkawi tapi tidak menang di seluruh negara, sedia jadi ketua pembangkang.


“Bersedia jadi ketua pembangkang sekali lagi, tapi tunggulah keputusan malam ini,” ujarnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]