Istana Iskandariah tenang

in Edisi by


BUKIT CHANDAN – Setakat jam 6 petang semalam, masih tiada sebarang tanda kemungkinan berlakunya perjumpaan di Istana Iskandariah bagi tujuan membentuk kerajaan.


Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan di Kuala Kangsar tenang malah tiada kelibat mana-mana parti politik berada berhampiran kawasan itu.


Tiada juga anggota polis mahupun anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di hadapan Istana Iskandariah.


Difahamkan, pemimpin daripada BN dan Harapan bakal berjumpa dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi meminta nasihat baginda.


Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu memaklumkan pemimpin Harapan berhasrat untuk bertemu Sultan bagi meminta perkenan menubuhkan kerajaan di Perak.


“Kita berjaya mendapat majoriti paling banyak iaitu 29 kerusi Dun dan secara umumnya Harapan berjaya menawan Perak daripada BN.


“Pemimpin kami akan memohon perkenan untuk tubuh kerajaan dan mendapat sembah nasihat daripada baginda,” katanya.


Begitupun, masih tiada perkembangan lanjut berkenaan hasrat mereka malah BN juga dilihat belum mengumumkan apa-apa perkembangan semasa berita ini ditulis.


Sidang media yang dijadualkan akan berlangsung semalam juga masih belum dijalankan dan semua pihak kini masih tertanya-tanya dengan situasi di Perak.


Malah tinjauan di media sosial juga mendapati ramai yang tertanya-tanya siapa menteri besar Perak sedangkan beberapa negeri lain dilihat hampir menyelesaikan proses membentuk kerajaan negeri.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]